PATUNG KUMANTHONG: KHURAFAT YANG MENYESATKAN AKIDAH

 


Amalan menyimpan patung KumanThong dengan harapan untuk melariskan perniagaan atau memurahkan rezeki adalah satu bentuk kepercayaan khurafat yang semakin membimbangkan. KhumanThong dianggap sebagai dewa rumah dalam budaya dan agama di Thailand dan dikaitkan dengan “roh” yang kononnya mampu membawa tuah, rezeki dan kekayaan. Dalam Islam, mempercayai bahawa selain Allah boleh memberi manfaat atau rezeki adalah perbuatan syirik yang boleh menjejaskan akidah.

Menurut kepercayaan Masyarakat Thailand, KumanThong adalah roh budak-budak dan perlu “melayannya” seperti anak sendiri dengan memberi makanan, minuman atau layanan tertentu sebagai syarat dan ritual khusus untuk mendapatkan bantuan. Perbuatan ini jelas membawa kepada syirik kerana meletakkan pergantungan kepada selain Allah. 

Firman Allah dalam Surah Az-Zumar ayat 3: “Ingatlah! Hanya milik Allah agama yang bersih (dari syirik). Dan orang-orang yang mengambil selain-Nya sebagai pelindung berkata: ‘Kami tidak menyembah mereka melainkan (berharap) supaya mereka mendekatkan kami kepada Allah…’”. Ayat ini menjadi peringatan bahawa segala bentuk perantaraan yang membawa kepada penyembahan selain Allah adalah dilarang sama sekali.

Kesimpulannya, amalan khurafat seperti pemilikan patung KumanThong bukan sahaja tidak membawa keberkatan, malah boleh mengundang kesengsaraan dan kemurkaan Allah SWT. Umat Islam perlu berhati-hati agar tidak terpedaya dengan jalan pintas mencari rezeki atau keinginan mendapatkan sesuatu. Kembalilah kepada ajaran tauhid yang sebenar, berusaha secara halal, berdoa dan bertawakal hanya kepada Allah. Jangan sampai kerana mengejar dunia, akidah tergadai.


Comments