QUNUT SUBUH TINGGAL TIDAK BATALKAN SOLAT, TETAPI JANGAN DIPANDANG RINGAN

Minggu lepas kecoh di Facebook berkaitan hantaran seorang individu yang mengakui tidak melakukan qunut subuh secara berterusan dan memilih untuk tidak melakukan secara rutin. Jika solat di masjid atau jika menjadi imam di masjid barulah dia akan melakukan qunut. Hal ini telah menjadi perbalahan dan menimbulkan kekeliruan umat Islam di ruangan komen.

Doa qunut dalam solat Subuh merupakan amalan sunat ab‘adh menurut mazhab al-Syafie yang menjadi pegangan majoriti umat Islam di Malaysia. Jika qunut ditinggalkan, ia tidak menyebabkan solat terbatal, namun disunatkan melakukan sujud sahwi sebelum salam sebagai ganti kepada sunat ab‘adh yang ditinggalkan.

Apa yang disyariatkan di dalam solat, jika sesuatu perkara itu wajib (di luar solat) untuk menyempurnakannya maka ia ialah syarat. Jika ia wajib dalam perbuatan solat, maka ia ialah rukun. Jika ia sunat kemudian ditampung (dengan sujud sahwi), maka ia ialah sunat ab’adh. Jika tidak, maka ia ialah sunat haiah. (Nihayat al-Muhtaj Syarh al-Minhaj, 1:449)

Berdasarkan teks di atas, maka sesiapa yang meninggalkan sunat-sunat ab’adh, maka hendaklah ditampung atau diganti dengan sujud sahwi sebelum salam.

Dalam isu ini, pandangan Mufti turut menekankan bahawa imam di Malaysia wajar meraikan amalan masyarakat yang berpegang dengan mazhab al-Syafie dengan membaca qunut dan tidak meninggalkannya secara sengaja. Namun, jika seseorang sengaja meninggalkan qunut dan tidak melakukan sujud sahwi sekalipun, solatnya tetap sah kerana hukum asal qunut ialah sunat, bukan rukun solat.

Kesimpulannya, perbezaan dalam perkara khilaf seperti qunut tidak sepatutnya menjadi punca perbalahan. Bagi masyarakat Malaysia, eloklah kita memahami disiplin mazhab al-Syafie dan meraikan amalan yang telah sekian lama diamalkan, sambil mengelakkan sikap mudah menghukum atau menyesatkan pihak yang berbeza pandangan.

#QunutSubuh #SunatAbad #HukumFiqh #SujudSahwi #MazhabSyafie

Comments