Isu istilah kafir harbi makin kerap disalah guna hingga mencetuskan perbalahan, malah beranu melabel sesuka hati terhadap para mufti. Dalam Islam, kafir harbi merujuk kepada golongan bukan Islam yang memerangi umat Islam tanpa sebarang perjanjian damai, bukan sekadar berbeza agama.
Allah SWT berfirman: “Allah tidak melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama dan tidak mengusir kamu dari negerimu. Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.” (Surah Al-Mumtahanah: 8).
Ayat ini jelas menunjukkan Islam menuntut kita berlaku adil dan berbuat baik kepada bukan Islam yang hidup aman bersama kita. Lebih penting, dalam berbeza pandangan terutama melibatkan isu agama, adab mesti diutamakan. Melabel, menghina atau mempolitikkan isu agama hanya menunjukkan hilangnya akhlak.
Dalam konteks Malaysia, masyarakat bukan Islam hidup aman, patuh undang-undang dan dilindungi oleh negara. Mereka bukan kafir harbi. Malah, Islam sendiri menegaskan keadilan dan larangan menzalimi golongan yang tidak memerangi kita. Contoh yang lebih tepat bagi kafir harbi ialah pihak yang jelas menindas dan memerangi umat Islam seperti Zionis.
Malaysia walaupun menjadikan Islam sebagai agama Persekutuan, tetap menjamin kebebasan beragama kepada semua. Inilah keindahan Islam, mengajar kita hidup dengan hikmah, hormat dan harmoni dalam masyarakat berbilang kaum dan agama. Jangan kerana emosi dan salah faham, kita rosakkan perpaduan.
#JabatanPerdanaMenteri #JAKIM #KafirHarbi #AnakMalaysia #mufti

Comments
Post a Comment