Isu ini timbul apabila pempengaruh TikTok AmiraAmiraaz tampil dengan naratif bahawa syariat menutup aurat bergantung kepada “keaiban diri”. Dakwanya, jika seseorang merasakan rambut itu aib, maka wajib ditutup, tetapi jika tidak, maka tidak menjadi kewajipan. Kenyataan ini menjadi viral dan jelas mengelirukan kerana cuba menjadikan hukum agama sebagai sesuatu yang subjektif dan bergantung kepada perasaan individu. Hakikatnya, aurat bukan ditentukan oleh rasa malu seseorang, tetapi ditetapkan secara jelas oleh syariat.
Allah SWT telah berfirman dalam Surah An-Nur ayat 31 yang jelas memerintahkan wanita beriman menutup aurat dan para ulama telah berijma’ bahawa ia adalah kewajipan.
Lebih membimbangkan, melalui pemerhatian terhadap akaun tersebut, terdapat beberapa kandungan lain yang turut dilihat bercanggah dengan prinsip asas akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah serta boleh mengelirukan pemahaman masyarakat, khususnya golongan muda di media sosial.
Fahaman seperti ini bukan sahaja menyentuh isu hukum, malah boleh merosakkan kefahaman akidah jika dibiarkan berterusan tanpa teguran dan dalam keadaan tertentu boleh mengheret seseorang ke arah murtad.
Oleh itu, umat Islam perlu lebih peka dan tidak mudah terpengaruh dengan kandungan media sosial yang dibungkus dengan logik peribadi tetapi bercanggah dengan syariat.
Jalan selamat adalah kembali kepada al-Quran, sunnah dan panduan ulama muktabar sebagai benteng daripada sebarang bentuk penyelewengan fahaman yang boleh menggugat iman.
#amiraamiraaz #aurat #murtad #ajaransesat #AhliSunnahWalJamaah

Comments
Post a Comment