Isu seorang ahli politik yang melontarkan lawak kotor dan berbaur lucah ketika ucapan di persidangan parti, malah memetik ayat kitab agama lain secara tidak wajar, membuka mata ramai tentang tahap wacana kepimpinan hari ini. Lebih mengecewakan, ada juga yang secara terbuka melakukan “body shaming” sesuatu yang langsung tidak mencerminkan kematangan seorang pemimpin. Pentas politik sepatutnya medan idea dan solusi, bukan ruang hiburan murahan atau serangan peribadi.
Pemimpin bukan sekadar bercakap, tetapi membawa imej, nilai dan arah kepada masyarakat. Setiap tutur kata diperhati, setiap tindakan dinilai. Bila bahasa tidak dijaga, mesej yang sampai bukan lagi kepimpinan, tetapi kerendahan ilmu dan kecelaruan adab. Sebab itu, menjadi pemimpin perlu menuntut ilmu, ilmu berfikir, ilmu berbahasa dan ilmu menghormati batas. Tanpa itu, beza antara “leader” dan “boss” makin kabur. Satu memimpin dengan hikmah, satu lagi sekadar mengarah tanpa nilai.
Politik itu penting, tetapi tidak boleh melampaui batas kemanusiaan dan adab. Kita perlukan pemimpin yang matang, berilmu dan berintegriti, bukan yang mengejar sorakan murahan. Rakyat bukan sekadar menilai dasar, tetapi juga akhlak. Jika pentas tertinggi pun dipenuhi kata-kata tidak bermaruah, bagaimana mahu membentuk masyarakat yang beradab? Sudah tiba masanya kita tuntut “standard” lebih tinggi kerana kepimpinan itu amanah yang diiringi dengan tanggungjawab, bukan pentas jenaka.
#politik #adab #pemimpin #ilmu #leader #boss

Comments
Post a Comment