BULI SAMPAI MATI ANAK ORANG HARI INI, ANAK KITA MUNGKIN ESOK

Tragedi kematian seorang pelajar tahfiz berusia 14 tahun akibat kejadian buli yang dikatakan melibatkan kekerasan melampau benar-benar meruntun hati. Seorang anak yang sepatutnya sedang menghafaz kalam Allah, menimba ilmu dan membina masa depan, akhirnya pergi dalam keadaan yang menyayat jiwa. Bukan kerana takdir biasa, tetapi kerana tangan manusia lain yang dianggap rakan, hilang pertimbangan dan belas ihsan.

Lebih menyedihkan, budaya buli hari ini semakin melampau. Ia bukan lagi sekadar gurauan kasar atau ejekan remaja, tetapi sudah bertukar menjadi kekejaman yang meragut nyawa. Kita mula tertanya-tanya, di mana silapnya? Rumah? Sekolah? Rakan? Atau dunia tanpa sempadan di skrin telefon yang membiak kebencian dan kekerasan tanpa kawalan? 

Lebih membimbangkan, apabila unsur keganasan atau buli seolah-olah “dinormalisasikan” dalam sesetengah kandungan drama atau filem termasuk naratif berkaitan kehidupan asrama, ‘senior’ dan ‘junior’. Contohnya, Filem Kudrat 1968: High Council, jika tidak difahami dengan betul, ianya seolah-olah memberi galakan untuk membuli, akhirnya mempengaruhi cara berfikir dan tingkah laku anak muda untuk bertindak ganas. Namun satu hakikat yang tidak boleh kita nafikan, setiap satu nyawa yang terkorban akibat buli adalah bukti bahawa sistem nilai kita sedang sakit.

Buli bukan isu kecil. Ia boleh menjadi pembunuh senyap dalam kalangan anak-anak kita. Hari ini mungkin anak orang lain, esok mungkin anak kita sendiri. Jangan normalisasikan kekerasan, jangan diam bila melihat penderaan berlaku kerana diam juga boleh menjadi sebahagian daripada kezaliman. Laporkan, hentikan dan didik sebelum lebih banyak nyawa yang tidak berdosa menjadi korban.

#buli #remaja #StopBullying #AntiBuli #Kudrat1968 #HighCouncil


 

Comments