Isu penggunaan istilah “menunggang agama” kembali menjadi perhatian apabila Mufti Wilayah Persekutuan menegaskan bahawa istilah itu wajar diganti dengan “eksploitasi agama” bagi mengelakkan salah faham dalam masyarakat. Ini kerana penggunaan istilah “menunggang” secara berleluasa boleh membawa kepada generalisasi, seolah-olah semua golongan agamawan bersifat negatif, sedangkan ramai ulama dan pendakwah berjuang secara ikhlas dalam menyampaikan syiar Islam.
Menurut beliau, istilah “eksploitasi agama” lebih tepat kerana ia memfokuskan kepada perbuatan menyalahgunakan agama untuk kepentingan diri seperti harta, pengaruh atau kedudukan. Ia juga menggambarkan dengan jelas wujudnya pihak yang mengambil kesempatan dan pihak yang menjadi mangsa. Malah, Islam sendiri mengecam perbuatan ini kerana ia bukan sahaja menipu manusia, tetapi turut mempermainkan kesucian agama demi keuntungan duniawi.
Allah SWT turut memberi peringatan dalam Al-Quran: “Sesungguhnya banyak di antara pendeta dan ahli agama memakan harta manusia dengan cara yang batil dan menghalangi manusia dari jalan Allah” (Surah At-Taubah: 34). Ayat ini jelas menunjukkan bahawa eksploitasi agama adalah perbuatan tercela yang telah berlaku sejak dahulu lagi. Oleh itu, umat Islam perlu lebih berhati-hati, tidak mudah terpedaya, serta memastikan setiap dakwah dan amalan dilakukan dengan ikhlas demi mencari keredaan Allah, bukan kepentingan dunia semata-mata.
#eksploitasiAgama #istilah #tunggangAgama #MuftiWP

Comments
Post a Comment