Kontroversi perarakan malam Simbang Kulon Night Carnival (SKNC) 2026 di Pekalongan, Indonesia baru-baru ini wajib menjadi amaran keras buat umat Islam, termasuk kita di Malaysia. Acara yang sepatutnya menyemarakkan syiar Islam sempena Maulidur Rasul bertukar menjadi ancaman akidah apabila ada kumpulan menampilkan unsur ‘satanisme’. Lambang bintang terbalik (pentagram), simbol mata satu dan lakonan ritual penyembelihan kambing di atas altar berlilin telah mencemarkan kesucian agama. Walaupun atas alasan kreativiti atau seni, membawa simbol penyembahan iblis ke dalam majlis agama adalah tindakan yang amat bahaya!
Niat tidak menghalalkan cara! Dari sudut hukum syarak, perbuatan meniru adat atau lambang ritual yang bercanggah dengan tauhid adalah HARAM dan boleh menjejaskan akidah sehingga jatuh sesat. Nabi SAW secara jelas mengingatkan: "Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia tergolong dalam kalangan mereka." (HR Abu Daud). Menyambut kelahiran Rasulullah SAW dengan gimik menyerupai upacara kekufuran bukan sahaja memadamkan keberkatan, malah mengundang murka Allah SWT. Jangan gadai iman demi 'content' yang tular.
Sebagai umat Islam di Malaysia, kita perlu lebih peka. Pihak penganjur, golongan belia dan pihak berkuasa agama wajib menyaring setiap kandungan program agar bebas daripada dakyah terselindung. Insiden ini membuktikan betapa rapuhnya sempadan akidah jika ilmu agama diketepikan demi mengejar impak visual. Jom pertahankan kemurnian syiar Islam berteraskan ilmu al-Quran dan Sunnah, bukannya mencampuradukkan kebenaran dengan kebatilan.
#SKNC2026 #MaulidurRasul #Khurafat #Konoha #AjaranSesat #Satanisme

Comments
Post a Comment