SISI GELAP NEW AGE MOVEMENT SIN ILAHI-SIN HU : BERKAITKAH UMAR PARANORMS & 'YB'?

 


1. Apakah New Age Movement (NAM)

New Age Movement (NAM) atau Gerakan Zaman Baru merupakan satu ideologi spiritual alternatif global yang kini semakin rancak menular dalam masyarakat. Gerakan ini tidak berasaskan sebuah agama yang khusus, sebaliknya merupakan kombinasi sinkretisme iaitu proses penggabungan pelbagai kepercayaan, ajaran agama atau budaya yang berbeza menjadi satu sistem atau aliran baharu. Ia menggabungkan unsur mistik timur, yoga, okultisme dan ramalan. Antara kategori utamanya termasuklah penyembuhan tenaga (energy healing), kuasa minda (Law of Attraction), serta spiritisme. Bahayanya, gerakan ini sering berselindung di sebalik terma saintifik seperti “quantum”, “frequency” dan “vibration”, malah dipakejkan semula sebagai industri kesihatan (wellness) untuk mengaburi mata masyarakat.

2. SIN ILAHI-SIN HU UMAR PARANORMS & YB MARHAMAH ROSLI

Isu NAM kembali panas rentetan pendedahan mengenai pusat rawatan Qalam Ilahi (QI Center) oleh Umar Paranorms di Putrajaya, yang didakwa membawa aliran Sin Ilahi–Sin Hu. Aliran yang berasal dari Indonesia ini merupakan contoh klasik cabang NAM yang memanipulasi istilah Islamik (seperti zikir dan tasawuf) lalu dicampuradukkan dengan doktrin Sufi Ilahi, Reiki, Kundalini dan cakra (konsep-konsep tenaga yang berasal daripada tradisi kerohanian Timur terutamanya India dan Jepun berkaitan dengan sistem aliran tenaga spiritual dalam tubuh manusia). 

Umar yang didakwa hanya berpendidikan PMR mengangkat gurunya yang digelar Grandmaster Ahmad Ghozali sebagai guru besar Sin Ilahi–Sin Hu telah mengikuti perguruan ilmu tenaga dalam, latihan pernafasan dan ilmu perdukunan di sekitar Sabah semenjak kecil, sebelum menyertai kumpulan ajaran sesat NAM tersebut sehingga menjadi Master Umar Paranorms.  

Isu ini turut mengheret nama Timbalan Menteri Agama, YB Senator Marhamah Rosli, ekoran tularnya tangkap layar hantaran lama beliau. Walau pihaknya telah menafikan sekeras-kerasnya keterlibatan tersebut dan menegaskan ia adalah manipulasi konteks, namun perkara ini menjadi salah satu punca ajaran sesat New Age Movement terus hangat diperkatakan di media sosial. 

3. Hukum Syarak

Dari sudut syarak, New Age Movement adalah sahih menyeleweng, haram dan merosakkan akidah Islam. Kebanyakan fatwa negeri menegaskan doktrin ini berpegang kepada konsep “Spiritual but Not Religious” (SBNR). Mereka mempercayai:
i. Manusia dan Tuhan adalah satu (pantheisme)
ii. Tiada istilah “menyembah”, yang ada cuma “menyelaras” (attunement)
iii. Sesiapa Sahaja boleh menjadi Tuhan atau Nabi 

Dari sudut akidah Islam, konsep sebegini adalah syirik dan kufur kerana kerana menolak sifat “Mukhalafatuhu lil hawadith” (Tuhan tidak sama dengan makhluk) dan menganggap manusia boleh mencapai makrifat versi mereka seperti tidak perlu solat atau ikut syariat, cukup sekadar berbuat baik dan menjaga “vibration” positif dengan alam. 

4. Amaran!

Umat Islam dinasihatkan agar sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan kelas motivasi, seminar magnet rezeki atau terapi aura yang menjanjikan ketenangan segera secara magis. Semak latar belakang guru dan pastikan sesuatu amalan itu mendapat pengiktirafan daripada institusi agama rasmi seperti JAKIM atau Jabatan Mufti negeri. Jika anda mengesan sebarang aktiviti mencurigakan yang mencampuradukkan agama dengan unsur mistik New Age Movement di kawasan anda, laporkan segera kepada pihak berkuasa agama agar tindakan penguatkuasaan dapat diambil demi memelihara kesucian akidah ummah.

#NewAgeMovement #SinIlahi #SinHu #UmarParanorms  #MarhamahRosli #AjaranSesat #SBNR #Aura


Comments