Penjajahan moden tidak lagi hanya berlaku dengan senjata dan kekuatan ketenteraan, tetapi melalui pembentukan pemikiran generasi muda. Terbongkarnya pelan sulit UAE dan Trump serta disokong oleh Israel untuk mengubah sistem pendidikan di Gaza menunjukkan bagaimana kuasa besar didakwa cuba melemahkan semangat perjuangan rakyat Palestin dari dalam. Sasaran utama bukan sekadar wilayah, tetapi pemikiran anak-anak Gaza supaya mereka membesar tanpa kesedaran sejarah, tanpa rasa melawan dan akhirnya menerima realiti yang dipaksakan ke atas mereka. Maka disinilah bermulanya doktrinisasi minda.
Antara yang menjadi kebimbangan ialah cadangan untuk mengadaptasi silibus pendidikan seperti di UAE. Selepas termeterai perjanjian Abraham Accords, silibus Pendidikan Islam dirombak habis-habisan. Perubahan ini didakwa melibatkan pengurangan naratif tentang penjajahan Palestin, termasuk isu Masjid Al-Aqsa yang tidak lagi ditekankan sebagai tanah yang dijajah, serta penghapusan istilah “penjajahan Zionis” dalam buku teks.
Dalam masa sama, pendekatan pendidikan diperluas dengan memasukkan topik seperti “Holocaust” (merujuk kepada pembunuhan beramai-ramai secara sistematik dan tajaan kerajaan Nazi Jerman terhadap kira-kira enam juta orang Yahudi dan jutaan mangsa lain di Eropah semasa Perang Dunia II) tanpa keseimbangan konteks semasa, yang berpotensi membentuk persepsi atau doktrin bahawa Israel hanya dilihat sebagai mangsa penindasan. Bahkan konsep jihad juga didakwa diubah, dihadkan kepada perjuangan melawan hawa nafsu, manakala perjuangan mempertahankan tanah air dilabel sebagai pengganas.
Inilah bentuk penjajahan minda yang paling halus tetapi paling berbahaya. Jika berjaya, generasi baru tidak lagi melihat penjajahan sebagai sesuatu yang perlu ditentang, sebaliknya dianggap normal. Betapa tergamaknya UAE sebagai negara Islam menzalimi Gaza, bersekongkol dengan laknatullah demi kuasa.
Umat Islam di Malaysia seharusnya mengambil iktibar dan lebih berhati-hati dari apa yang berlaku di Gaza. Gaza mungkin jelas musuhnya secara fizikal, tetapi umat Islam di Malaysia mana musuhnya? Sedarlah tatkala pemikiran berjaya dijajah, sesuatu bangsa boleh kalah tanpa perlu satu peluru pun dilepaskan, hilang jati diri, hilang arah dan akhirnya hilang perjuangan.
#UAE #DonaldTrump #SavePalestine #Gaza #genocide #doktrinisasi #Holocaust
Comments
Post a Comment