AL-QURAN : CAHAYA YANG TAK PERNAH PADAM, PETUNJUK SEPANJANG ZAMAN

 


Berlangsungnya Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Antarabangsa ke-66 wajar menjadi momentum untuk kita bersama-sama kembali mengimarahkan Al-Quran dalam kehidupan. Bukan sekadar membacanya pada waktu tertentu, tetapi menjadikan Al-Quran sebagai teman, rujukan dan pedoman dalam setiap langkah kehidupan.

Allah SWT berfirman: “Sesungguhnya Al-Quran ini memberi petunjuk ke jalan yang paling lurus dan memberi khabar gembira kepada orang-orang mukmin yang beramal soleh bahawa mereka akan beroleh pahala yang besar.” (Surah Al-Isra’, 17:9). Dalam dunia yang penuh cabaran, kekeliruan dan pelbagai pengaruh, Al-Quran menjadi panduan agar kita tidak mudah tersasar daripada jalan yang diredai Allah SWT.

Sempena majlis ini, marilah kita hidupkan kembali budaya membaca, memahami dan menghayati Al-Quran dalam keluarga serta masyarakat. Jadikan Al-Quran bukan sekadar kitab yang tersimpan di rumah, tetapi cahaya yang menerangi hati, membentuk akhlak dan menjadi petunjuk sepanjang kehidupan.



Comments