1. SIAPAKAH ALIFF DANIEL?
Nama Aliff Daniel menjadi perhatian selepas tular dakwaan penglibatannya dalam ritual Thaipusam di Batu Caves. Beliau dikatakan berbangsa Melayu dan beragama Islam, namun didakwa mendalami amalan spiritual rentas agama sehingga dikaitkan dengan ritual Hindu, kepercayaan shaman serta amalan yang didakwa menggabungkan unsur tahlil dan mantera Siam.
Bahkan, sejak usia kecil lagi, Aliff Daniel didakwa sudah menunjukkan minat terhadap dunia spiritual. Beliau dikatakan sering mendakwa dirinya diresapi roh dewa-dewi, termasuk yang dikaitkan dengan kepercayaan Hindu dan Buddha. Beliau juga didakwa mahu menjadi seorang shaman yang merawat orang sakit melalui kaedah spiritual.
2. APA RITUAL & KEPERCAYAAN SINKRETISME ALIFF DANIEL?
- Ritual Thaipusam: Didakwa menjunjung objek keagamaan Hindu di atas kepala ketika berada di Batu Caves.
- Mencucuk tubuh dengan trisula: Didakwa mencucuk lidah dan pipi serta memakai terompah berpaku ketika menaiki tangga kuil.
- Kepercayaan spiritual rentas agama: Didakwa mendalami amalan shaman di seluruh dunia dan kepercayaan yang dikaitkan dengan New Age Movement (NAM).
- Dakwaan kerasukan dewa dan perawatan spiritual: Terdapat dakwaan beliau mengaitkan dirinya dengan roh atau dewa-dewi serta menggunakan gabungan tahlil dan mantera Siam untuk meruqyahkan orang sakit.
3. AMARAN KERAS: PERBUATAN KHUATIR JATUH MURTAD!
Umat Islam perlu berwaspada terhadap New Age Movement dan fahaman spiritual sinkretik yang mencampuradukkan unsur pelbagai agama, kepercayaan ketuhanan, pemujaan serta dakwaan kuasa ghaib. Fahaman yang mencampuradukkan kepercayaan agama sehingga bercanggah dengan tauhid boleh membawa risiko serius terhadap akidah, khuatir jatuh ke lembah murtad.
Allah SWT berfirman dalam Surah an-Nisa’, ayat 48:
“Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik mempersekutukan-Nya (dengan sesuatu yang lain), dan akan mengampunkan dosa yang lain daripada itu bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya.”
Justeru itu, dalami ilmu agama, jangan taksub kepada guru spiritual dan jangan terpengaruh dengan ajaran New Age Movement yang berpegang pada kepercayaan sinkretisme, mengaburkan batas tauhid dengan kepercayaan lain. Pada masa yang sama, rujuk kepada pihak berautoriti agama.
#AliffDaniel #NewAgeMovement #SpiritualRentasAgama #Sinkretisme

Comments
Post a Comment