Kenyataan Menteri Dalam Negeri bahawa anak hasil perkahwinan sah Melayu dengan warga asing boleh didaftarkan sebagai Melayu telah mengundang reaksi yang pelbagai dalam kalangan netizen, khususnya pada kelompok majoriti iaitu Melayu-Islam. Kebanyakannya memberi reaksi yang negatif terhadap Saifuddin Nasution kerana dianggap memberi ruang dan peluang yang lebih besar kepada keturunan warga asing. Mereka bukan sahaja bertapak di Malaysia malah mendapat kerakyatan, berketurunan Melayu serta status bumiputera di negara ini.
Bila terkait dengan hak keistimewaan bumiputera sudah tentu banyak persoalan yang dibangkitkan sekiranya kenyataan yang dikeluarkan Menteri tersebut menjadi kenyataan. Adakah akan hilang identiti ‘Melayu’ pada masa akan datang, bagaimana pula dengan hak bumiputera? Sekiranya persoalan ini yang dibangkitkan, secara undang-undangnya ianya sah untuk anak kelahiran perkahwinan campuran nikmati.
Namun, pada masa yang sama, trend menunjukkan anak Melayu sekarang juga hanya Melayu sekadar di kad pengenalan. Tutur dalam Bahasa Melayu pun tidak pandai, apatah lagi mengamalkan adat Melayu jauh sekali, belum lagi cek pegangan agamanya. Semuanya mengidolakan barat. Jika inilah realitinya, adakah kita layak bersuara dalam isu ini?
Ini bukan hasutan, bukan kebencian, tetapi mahu mengajak berfikir. Jika orang luar mengambil kesempatan kita melatah, tetapi pada masa yang sama apakah tindakan sewajarnya untuk kita lakukan dalam memelihara identiti Melayu kini yang semakin terhakis?
#melayu #islam #identity #BUMIPUTERA #saifuddin #PerlembagaanPersekutuan

Comments
Post a Comment