Jerebu yang melanda Malaysia ketika ini bukan sekadar isu pemandangan kabur, malah ia membawa ancaman kesihatan yang serius menerusi fenomena "kejutan berganda" (double hit). Zarah halus berbahaya seperti PM2.5 dalam jerebu bertindak mengeringkan mukosa hidung dan tekak serta mencetuskan keradangan saluran pernafasan. Keadaan fizikal yang lemah ini menjadi lubang atau ruang yang besar untuk virus influenza membolosi pertahanan badan dengan lebih mudah, sekali gus menjelaskan mengapa statistik kes demam, selesema dan jangkitan influenza melonjak mendadak seiring dengan penurunan kualiti udara.
Suasana luar rumah yang tidak sihat memaksa kebanyakan kita berkurung di dalam bangunan dengan tingkap tertutup rapat dan penyaman udara yang berpusing tanpa henti. Malangnya, ruang tertutup yang tidak mempunyai pengudaraan segar ini menjadi lubuk keemasan untuk virus influenza merebak dengan lebih pantas dari individu ke individu melalui titisan pernafasan. Akibatnya, kombinasi pencemaran udara di luar dan pendedahan virus secara intensif di dalam rumah meningkatkan risiko komplikasi teruk seperti radang paru-paru (pneumonia).
Sebelum keadaan menjadi lebih parah, langkah perlindungan kendiri dan persediaan luar jangkaan mestilah diambil dengan segera. Orang ramai dinasihatkan untuk memakai pelitup muka jenis N95 apabila berada di luar, mengekalkan hidrasi badan bagi memastikan mukosa hidung kekal lembap, serta mengambil vaksinasi “flu” tahunan terutamanya bagi golongan berisiko tinggi seperti kanak-kanak dan penghidap asma.
#jerebu #influenza #kesihatan #KKM

Comments
Post a Comment