Dulu kita risau anak-anak terpengaruh dengan perkara negatif di luar rumah. Sekarang, dalam bilik sendiri pun mereka boleh terdedah kepada budaya yang berbahaya. Menurut laporan BERNAMA, beberapa insiden serangan di sekolah baru-baru ini dipercayai mempunyai kaitan dengan subbudaya dalam talian dikenali sebagai True Crime Community (TCC) , yang antaranya mengagungkan pelaku pembunuhan. Lebih membimbangkan, ada remaja yang mula melihat keganasan sebagai sesuatu yang hebat dan cara untuk mendapatkan perhatian. Bayangkan, orang yang sepatutnya dijadikan contoh ialah mereka yang membawa kebaikan, bukannya mereka yang mencederakan dan meragut nyawa orang lain.
Sebagai remaja Islam, jangan sampai apa yang kita tengok setiap hari di telefon perlahan-lahan merosakkan hati dan pemikiran kita. Allah SWT berfirman dalam Surah Al-Ma'idah, ayat 32
وَمَن قَتَلَ نَفْسًۢا بِغَيْرِ نَفْسٍ أَوْ فَسَادٍۢ فِى ٱلْأَرْضِ فَكَأَنَّمَا قَتَلَ ٱلنَّاسَ جَمِيعًۭا ۖ وَمَنْ أَحْيَاهَا فَكَأَنَّمَآ أَحْيَا ٱلنَّاسَ جَمِيعًۭا
Maksudnya: “Sesiapa yang membunuh seorang manusia bukan kerana orang itu membunuh orang lain atau bukan kerana melakukan kerosakan di bumi, maka seolah-olah dia telah membunuh manusia semuanya. Dan sesiapa yang menjaga keselamatan hidup seorang manusia, maka seolah-olah dia telah menjaga keselamatan hidup manusia semuanya.”
Ayat ini mengingatkan kita betapa berharganya nyawa manusia dalam Islam. Marah, kecewa, dibuli atau rasa tidak dihargai bukan alasan untuk menyakiti sesiapa. Jangan biarkan kandungan yang kita tonton menjadikan hati semakin keras sehingga hilang rasa belas kasihan.
Wahai anak muda yang beragama Islam, bukan semua yang trending patut diikuti dan bukan semua komuniti dalam talian layak dijadikan tempat mencari identiti. Kalau sedang bergelut dengan tekanan, carilah seseorang yang boleh dipercayai untuk berkongsi masalah. Kalau nampak rakan mula mengugut atau merancang untuk mencederakan orang lain, jangan diam. Maklumkan kepada orang dewasa yang boleh membantu. Ibu bapa pula, jangan hanya bertanya tentang keputusan peperiksaan, tetapi ambil tahu juga apa yang anak-anak tonton dan siapa rakan mereka di alam maya. Teknologi semakin maju, tetapi jangan sampai akhlak dan nilai kemanusiaan kita semakin mundur.
#RemajaIslam #AkhlakRemaja #BahayaMediaSosial #GenerasiMuda #DidikAnak #KesedaranMasyarakat

Comments
Post a Comment