GEMPAR ISU AYAM BANGKAI: SANGGUP SUAP MAKANAN HARAM DEMI MENGAUT UNTUNG PELARIS?

 


Tular baru-baru ini di laman Threads berhubung pendedahan aktivis membabitkan peniaga yang didakwa menjual bekalan ayam tidak disembelih mengikut syarak atau ringkasnya, ayam bangkai. Sikap segelintir pembekal dan peniaga yang lewa, rakus mengaut keuntungan, serta menyerahkan urusan pengendalian makanan mentah sepenuhnya kepada pekerja asing tanpa pemantauan telah mencetuskan kemarahan ramai. Isu ini bukan sekadar soal kebersihan atau kelalaian premis, tetapi menyentuh persoalan pokok akidah, ketakwaan, serta keberkatan rezeki yang mengalir dalam tubuh badan umat Islam. 

Secara jelasnya, Islam melarang keras umatnya daripada mengambil sebarang makanan daripada sumber yang diharamkan. 

Firman Allah SWT dalam Surah al-An’am, (Ayat 121): 

وَلَا تَأْكُلُوا مِمَّا لَمْ يُذْكَرِ اسْمُ اللَّهِ عَلَيْهِ وَإِنَّهُ لَفِسْقٌ ۗ وَإِنَّ الشَّيَاطِينَ لَيُوحُونَ إِلَىٰ أَوْلِيَائِهِمْ لِيُجَادِلُوكُمْ ۖ وَإِنْ أَطَعْتُمُوهُمْ إِنَّكُمْ لَمُشْرِكُونَ

Maksudnya: “ Dan janganlah kamu makan daripada (sembelihan binatang-binatang halal) yang tidak disebut nama Allah ketika menyembelihnya, kerana sesungguhnya yang sedemikian itu adalah perbuatan fasik (berdosa); dan sesungguhnya syaitan-syaitan itu membisikkan kepada pengikut-pengikutnya, supaya mereka membantah (menghasut) kamu; dan jika kamu menurut hasutan mereka (untuk menghalalkan yang haram itu), sesungguhnya kamu tetap menjadi orang-orang musyrik. ” 

Apabila haiwan darat seperti ayam mati sebelum disembelih secara sah mengikut hukum syarak (seperti lemas dalam air panas atau dicarat tanpa memutus urat halkum dan mari'), ia secara automatik menjadi bangkai dan haram dimakan.

Pengajaran penting bagi masyarakat daripada isu ini adalah agar kita tidak mengambil mudah soal kesucian sumber makanan seharian. Sebagai pengguna, kita dituntut untuk lebih peka dan bijak dengan mengutamakan premis yang memiliki Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) yang sah daripada JAKIM/MAIN. Manakala buat para peniaga dan pembekal, ingatlah bahawa integriti dan amanah dalam mencari rezeki yang halal jauh lebih berharga daripada mengaut keuntungan bertimbun dengan cara penipuan.

#makananhalal #Bangkai #sembelihan #hukumislam


Comments