Fenomena penularan imej wanita bukan Islam yang mengenakan tudung atau hijab secara penuh kini mula mencetuskan kekeliruan dan kebimbangan dalam kalangan masyarakat, terutamanya melibatkan aspek kekaburan identiti agama. Sebagai umat Islam, kita perlu sedar bahawa amalan menutup kepala (dikenali sebahai “mantilla” dalam tradisi Katolik atau “veil” dalam Ortodoks) juga wujud dalam sejarah dan teks agama terdahulu seperti Kristian dan Yahudi atas dasar hormat dan kesopanan ketika beribadah di hadapan Tuhan.
Walau bagaimanapun, tujuan pemakaian tersebut adalah berbeza sama sekali. Bagi penganut Kristian ia sekadar pilihan peribadi atau tradisi ritual khusus, manakala dalam Islam, hijab merupakan syariat mutlak dan lambang ketundukan hamba kepada penciptaNya. Kekeliruan visual seperti ini menuntut umat Islam agar lebih berhati-hati dan tidak mudah terpedaya dengan penampilan luaran semata-mata, terutamanya apabila ia melibatkan simbol agama lain seperti salib yang dipakai bersama tudung tersebut.
Umat Islam dituntut untuk sentiasa menjaga batas akidah dan memelihara identiti syiar Islam agar tidak bercampur aduk dengan amalan kepercayaan lain (pluralisme). Tindakan menyamakan semua pemakaian tudung tanpa melihat kepada asas akidah di sebaliknya boleh menjejaskan kefahaman tauhid, terutamanya bagi generasi muda yang mudah terpengaruh dengan trend media sosial.
Perkara ini selaras dengan peringatan tegas Allah SWT dalam al-Quran menerusi Surah al-Kafirun, ayat 6, mafhumnya: "Bagi kamu agama kamu, dan bagiku agamaku." Ayat ini menetapkan garis pemisah yang amat jelas bahawa dalam urusan pegangan, syariat dan simbol keagamaan tiada ruang untuk bertolak ansur atau mencampuradukkan amalan sehingga mengelirukan umat.
Oleh itu, marilah kita meningkatkan kesedaran dan ilmu pengetahuan agama agar benteng akidah dalam diri dan keluarga sentiasa utuh mendepani cabaran akhir zaman. Sentiasa didik anak-anak untuk mengenali ciri-ciri khas ibadah Islam dan fahami bahawa kecantikan bertudung dalam Islam bukan sekadar trend fesyen harian, tetapi ia adalah tuntutan iman demi menjaga kehormatan diri mengikut lunas syarak. Kita menghormati kebebasan berpakaian individu daripada agama lain, namun pada masa yang sama, kita wajib mempertahankan keaslian identiti muslimah sejati agar maruah dan kesucian agama Islam tidak disalahertikan atau dipermainkan oleh mana-mana pihak.
#tudungviral #Islam #Kristian #veil #Mantilla

Comments
Post a Comment