Isu penggunaan istilah bahasa Arab dan petikan ayat al-Quran "lighad" yang dijadikan bahan jenaka politik oleh seorang pempengaruh baru-baru ini telah mencetuskan polemik besar di platform media sosial. Perbuatan mempersendakan istilah yang dipetik daripada ucapan rasmi Belanjawan negara bukan sahaja menguris hati umat Islam, malah telah mengundang kecaman hebat daripada pelbagai organisasi Masyarakat. Tindakan tidak bertanggungjawab ini mencerminkan sikap tidak sensitif sesetengah individu terhadap komponen agama yang dianggap suci oleh penganutnya, sekali gus mengeruhkan keharmonian dalam ruang perbincangan digital.
Dari sudut pandang Islam, perbuatan mempermainkan, menyindir atau memperlekehkan mana-mana ayat al-Quran mahupun kalimah suci adalah satu perkara yang amat dilarang. Perkataan "lighad" bermaksud "hari esok" atau "hari akhirat," yang termaktub dalam Surah al-Hashr (ayat 18) sebagai peringatan agar setiap manusia bermuhasabah tentang bekalan amalan mereka untuk hari akhirat. Menjadikan kalam Allah atau istilah yang berkait rapat dengannya sebagai modal lawak murahan atau sindiran politik bukan sahaja menjatuhkan maruah pelaku, malah bertentangan dengan prinsip menghormati kesucian teks agama yang wajib dipelihara oleh setiap individu meskipun bukan Islam.
Pengampunan dan permohonan maaf semata-mata tidak memadai sekiranya kesedaran sivik masih di takuk lama, terutamanya dalam konteks Malaysia yang unik dengan kepelbagaian kaum dan agama. Masyarakat Malaysia perlu sedar bahawa garis panduan kebebasan bersuara tidak merangkumi hak untuk menghina atau mempersendakan kepercayaan orang lain. Demi mengekalkan keharmonian negara, setiap warga perlu menyemai rasa hormat yang mendalam terhadap batas-batas agama lain, mengelakkan diri daripada menyentuh isu sensitif demi kepentingan peribadi dan sentiasa berfikir panjang sebelum memuat naik sebarang hantaran di media sosial.
#lighad #Belanjawan2027 #liwat #alquran #politik

Comments
Post a Comment