MEMAKAI PAKAIAN BERTULISAN LUCAH KETIKA SOLAT SAH SOLATKAH ATAU HILANG ADAB DI HADAPAN ALLAH?

 



Pernahkah anda terlihat seseorang memakai baju yang tertera tulisan lucah atau perkataan tidak senonoh ketika solat di masjid?

Persoalannya, apakah hukum memakai pakaian sebegini ketika menunaikan solat?

Dari sudut hukum fiqh, para ulama menjelaskan bahawa solat seseorang itu tetap sah selagi mana pakaiannya menutup aurat dengan sempurna dan suci daripada najis. Namun, sahnya solat tidak bermakna kita telah menjaga adab sepenuhnya.

Di sinilah timbul persoalan yang lebih besar, di manakah adab kita ketika menghadap Allah SWT?

Adakah wajar kita berdiri di atas sejadah, menghadap Tuhan Yang Maha Agung dengan pakaian yang memaparkan tulisan sia-sia, biadab atau mencolok mata?

Sebagai umat Islam, kita dituntut untuk menjaga kesopanan zahir dan batin ketika beribadah. Firman Allah SWT dalam Surah Al-A'raf, ayat 31:

"يَٰبَنِيٓ ءَادَمَ خُذُوا۟ زِينَتَكُمْ عِندَ كُلِّ مَسْجِدٍ" 
 
Maksudnya: “Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah (serta menutup aurat) pada tiap-tiap kali ke masjid (mengerjakan solat).”

Ayat ini dengan jelas mengajar kita agar memperelokkan penampilan ketika beribadah, bukan sekadar menutup aurat.

Mengulas perkara ini, Mufti Pulau Pinang, Dr. Mohd Sukki Othman menegaskan bahawa pemakaian baju yang mengandungi tulisan lucah, carutan atau mesej yang bertentangan dengan akhlak Islam adalah sangat tidak wajar dibawa ke dalam solat. Walaupun solat itu sah dari sudut syarat, perbuatan tersebut mencerminkan kelalaian dalam menjaga adab dan kesucian ibadah.

Justeru, sebelum kita melangkah ke masjid, marilah kita lakukan satu perkara mudah dengan periksa dahulu pakaian kita.

Adakah tulisan pada baju kita sesuai untuk dibawa menghadap Allah? Adakah ia melambangkan seorang Muslim yang menjaga maruah dan akhlak?

Solat bukan sekadar sah atau tidak tetapi tentang bagaimana kita mempersembahkan diri di hadapan Pencipta.

#AdabSolat #RukunSolat #IsuSemasa #DakwahSentuhan

Comments