Isu yang dikaitkan dengan Aliff Daniel seharusnya menjadi ruang muhasabah buat ibu bapa tentang cabaran membesarkan anak pada zaman digital. Hari ini, anak boleh berada di rumah, tetapi fikirannya menjelajah jauh melalui gajet di tangan. Media sosial menyajikan pelbagai kandungan tanpa tapisan yang memadai, termasuk fahaman spiritual dan amalan yang boleh mengelirukan pegangan agama. Anak yang kelihatan pendiam dan mendengar kata juga perlu dibimbing kerana kita belum tentu tahu siapa yang menjadi rujukannya di alam maya. Mungkin versi di hadapan ibu bapa lain, versi di belakang lain pula, segalanya mungkin. Namun, jangan mudah menghukum ibu bapa orang lain kerana kita tidak mengetahui seluruh usaha dan ujian yang mereka lalui.
Pemantauan bukan sekadar mengehadkan masa skrin, tetapi mengambil tahu kandungan yang ditonton, akaun yang diikuti serta kumpulan sembang yang disertai. Bagi anak yang masih bawah umur, semakan gajet perlu dibuat secara berpatutan dengan peraturan yang jelas dan penjelasan tentang tujuannya. Dekati anak, dengar persoalan mereka dan bincangkan perkara yang menarik perhatian mereka tanpa terus memperlekehkan. Jika anak mula tertarik kepada dakwaan kuasa ghaib atau ajaran yang mengelirukan, dapatkan bimbingan pihak berilmu lebih awal. Jangan biarkan media sosial menjadi guru utama anak dalam mengenal agama dan menentukan benar atau salah.
Ibu dan ayah juga perlu sepakat dalam menetapkan batas serta membimbing anak dengan kasih sayang dan ketegasan. Minat anak boleh diraikan, tetapi sesuatu amalan tidak wajar dibenarkan semata-mata kerana dianggap bakat, kelebihan atau sumber pendapatan apabila bercanggah dengan akidah. Pada masa yang sama, didikan memerlukan teladan, kesabaran dan ruang untuk anak bertanya serta kembali apabila tersilap. Memberi anak gajet mesti disertai bimbingan, menyediakan keperluan hidup pula mesti berjalan seiring dengan menjaga akidah dan akhlaknya. Jadikan kisah ini pengajaran untuk memperbaiki didikan keluarga sendiri, bukan alasan untuk mengaibkan keluarga orang lain.
#AliffDaniel #NewAgeMovement #SpiritualRentasAgama #Sinkretisme #ibubapa

Comments
Post a Comment