PERSONALITI TV PERSENDA HUKUM AGAMA? TANYA “DOSA ATAU PAHALA” ZIARAH KASINO SAMBIL BERGAMBAR DI DALAMNYA
Berdasarkan hantaran Iqram Dinzly di sosial medianya, persoalan “Dosa atau pahala menziarah kasino”? bersama gambarnya di dalam sebuah kasino boleh menimbulkan tanggapan bahawa hukum agama sedang dipandang ringan. Bertanya tentang hukum bukanlah kesalahan, tetapi cara beliau interpretasi di dalam gambar tersebut seolah-olah memperolokkan hukum Islam dan mempersendakan agama Islam.
Dalam Islam, perjudian jelas HARAM. Surah al-Ma’idah, ayat 90 menyatakan bahawa arak, judi, berkorban untuk berhala dan mengundi nasib termasuk perbuatan keji daripada amalan syaitan, lalu memerintahkan orang beriman menjauhinya. Larangan dalam ayat ini tidak hanya berlaku ketika seseorang sudah melakukan perbuatan tersebut, tetapi juga mengharamkan segala jalan atau tindakan yang mendekatinya. Prinsip ini dikenali dengan kaedah Sadd adz-Dzarai’ (menutup jalan menuju kemaksiatan).
Alasan mengapa sekadar menjejakkan kaki ke dalam kasino turut DILARANG dan hukumnya HARAM:
1. Larangan berada di Tempat Maksiat
- Kasino adalah pusat berkumpulnya pelbagai kemaksiatan dan tempat di mana hukum Allah dilanggar secara terang-terangan.
2. Larangan menjadi Penonton Maksiat
- Berada dalam kasino melihat orang lain berjudi atau minum arak meskipun kita hanya berjalan-jalan, melihat-lihat, menemani kawan boleh membuatkan timbul rasa ingin mencuba atau menoleransi kemaksiatan tersebut.
3. Menghindari Fitnah dan Syubhah
4. Langkah Awal Godaan Syaitan
Pengecualian: Masuk ke kasino hanya dibolehkan jika ada tuntutan tugas atau darurat yang sah seperti pasukan keselamatan yang menjalankan tugas, petugas perubatan yang menolong orang sakit dan seumpamanya. Jika tidak ada alasan darurat maka hukumnya tetap HARAM.
Maka, alasan “sekadar melawat” tidak boleh dianggap dengan sendirinya menghalalkan perbuatan tersebut. Apatah lagi apabila kunjungan disertai pendaftaran keahlian, tindakan itu jelas haram dan wajar ditegur agar batas larangan agama tidak dipandang ringan.
Jadikan isu ini sebagai peringatan, hormati hukum Allah dan jauhi tempat perjudian. Jangan memandang ringan perbuatan masuk ke kasino atau mendaftar keahlian dengan alasan “sekadar melawat”. Sebagai Muslim, lebih-lebih lagi figura awam, setiap tindakan perlu menjaga batas agama dan menjadi contoh yang baik kepada masyarakat.
#IqramDinzly #judi #arak #haram #hukumislam

Comments
Post a Comment