YOGA HARAM, PILATES BOLEH? NAMPAK SAMA, TAPI KENAPA HUKUMNYA BERBEZA?


Sekali pandang, dua-dua nampak macam senaman regangan biasa. Tapi tahukah anda, ada sebab mengapa Pilates diharuskan sedangkan amalan Yoga tertentu difatwakan haram dalam Islam?

Persamaan gerakan tidak semestinya membawa hukum yang sama. Dalam Islam, kita bukan sekadar melihat cara sesuatu senaman dilakukan, tetapi juga asal usul, tujuan dan unsur yang terkandung di dalamnya.

Apa sebenarnya beza Yoga dengan Pilates? Pilates ialah senaman fizikal yang diasaskan oleh Joseph Pilates untuk meningkatkan kekuatan otot, postur, fleksibiliti dan kestabilan badan. Yoga pula mempunyai akar sejarah dalam falsafah dan kerohanian Hindu. 

Pada tahun 2008, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan memutuskan bahawa amalan Yoga yang menggabungkan unsur keagamaan, mantera, pemujaan dan penyatuan diri dengan tuhan adalah haram bagi umat Islam kerana boleh menjejaskan akidah. 

Bagaimanapun, pergerakan fizikal semata-mata yang bebas daripada unsur tersebut tidak dihukum haram hanya kerana kelihatan serupa. Sebab itulah kita perlu memahami sesuatu amalan sebelum menghukumnya.

Islam tak pernah melarang umatnya menjaga kesihatan, tetapi akidah tetap menjadi keutamaan. 

Allah SWT berfirman dalam Surah Al-An'am, ayat 162:

قُلْ إِنَّ صَلَاتِي وَنُسُكِي وَمَحْيَايَ وَمَمَاتِي لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ

Maksudnya: _“Katakanlah: Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.”_

Ayat ini mengingatkan kita bahawa segala aspek kehidupan, termasuk aktiviti menjaga kesihatan, perlu berpandukan syariat Allah. Jangan kerana terlalu mengejar trend kecergasan, kita terlepas pandang perkara yang boleh menggugat pegangan agama.

Jadi, apa hukum Pilates? BOLEH atau TIDAK? 

Menurut penjelasan Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan bertarikh 2 Disember 2024, hukum melakukan Pilates adalah HARUS, kerana ia merupakan senaman fizikal yang tidak mengandungi unsur keagamaan agama lain. Namun, umat Islam tetap perlu menjaga batas syariat seperti menutup aurat, memilih tempat senaman yang tertutup dan sesuai, mengelakkan percampuran bebas lelaki dan perempuan serta menjauhi sebarang ritual atau bacaan yang bercanggah dengan Islam.
 
Kesimpulannya, nak sihat itu bagus, tapi jangan sampai akidah menjadi taruhan. Kita boleh mengikuti perkembangan dunia kecergasan, mencuba senaman moden dan menjaga penampilan diri, asalkan tidak melanggar batas agama. Jadilah Muslim yang bijak menilai, bukan sekadar mengikut apa yang sedang viral. Ingat, badan yang sihat adalah nikmat, tetapi akidah yang terpelihara adalah amanah.

Rujukan: Muftiwp

Comments