APABILA DOSA DIJADIKAN KEBANGGAAN DI MANAKAH RASA MALU SEORANG MUSLIM?


Dalam sebuah sesi sembang podcast di YouTube, seorang lelaki yang dikenali dengan panggilan “Abang Pisang” dilaporkan membuat pengakuan bahawa beliau pernah memakan daging khinzir ketika zaman jahilnya. Lebih mengejutkan, pengalaman tersebut turut digambarkan sebagai satu nikmat daripada Allah SWT. Kenyataan sebegini sewajarnya mengundang renungan dalam kalangan umat Islam. 

Dalam Islam, sesuatu yang telah jelas diharamkan oleh Allah SWT tidak sepatutnya dibanggakan atau digambarkan sebagai nikmat yang diredai-Nya. Allah SWT berfirman dalam Surah al-Baqarah, ayat 173 yang bermaksud: 

"Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai, darah, daging khinzir dan binatang yang disembelih dengan menyebut nama selain Allah." 

Larangan ini jelas menunjukkan bahawa umat Islam mempunyai batas halal dan haram yang wajib dihormati. Justeru, janganlah sesuatu yang bercanggah dengan perintah Allah SWT dipersembahkan seolah-olah ia satu kebanggaan atau anugerah yang patut diraikan.

Persoalannya, sejak bilakah sesuatu yang diharamkan boleh dianggap sebagai nikmat yang wajar dibanggakan? Jika seseorang melakukan dosa seperti berzina, meminum arak atau melakukan maksiat yang lain, adakah perbuatan tersebut juga mahu dianggap sebagai nikmat daripada Allah SWT? Sudah tentu tidak. 

Kita perlu membezakan antara nikmat yang dikurniakan Allah SWT dengan keseronokan sementara yang diperoleh melalui perbuatan maksiat. Tidak semua perkara yang memberikan keseronokan kepada manusia membawa keredaan Allah SWT. Sesuatu yang kelihatan menyeronokkan pada pandangan manusia belum tentu baik di sisi agama. Malah, keseronokan melakukan dosa boleh menjadi ujian yang menyebabkan seseorang semakin jauh daripada mengingati Allah SWT. Oleh itu, janganlah kita sewenang-wenangnya mengaitkan perbuatan yang diharamkan dengan nikmat Allah, seolah-olah batas halal dan haram tidak lagi mempunyai nilai dalam kehidupan seorang Muslim.

Lebih membimbangkan apabila seseorang bukan sahaja menceritakan dosa silamnya, malah melakukannya dengan nada bangga dan tanpa rasa malu. Sedangkan Islam mengajar umatnya supaya tidak mendedahkan maksiat yang telah dilakukan apabila Allah SWT telah menutup aib tersebut. Rasulullah SAW bersabda: 

"Setiap umatku diberikan keampunan kecuali orang yang melakukan dosa secara terang-terangan." (HR Bukhari).

Baginda kemudian menjelaskan bahawa antara perbuatan tersebut ialah seseorang yang melakukan dosa pada waktu malam, kemudian pada keesokan harinya menceritakannya kepada orang lain sedangkan Allah telah menutup dosanya. Hadis ini memberikan peringatan yang cukup jelas bahawa janganlah kita sendiri membuka tirai aib yang telah Allah SWT tutup dengan begitu sempurna. Namun, perlu difahami bahawa menceritakan kesilapan silam untuk mendapatkan nasihat, rawatan atau memberi pengajaran dengan tujuan yang baik adalah berbeza daripada mendedahkan dosa dengan perasaan bangga dan bermegah-megah.

Hakikatnya, setiap manusia tidak terlepas daripada melakukan kesilapan dan dosa. Ada antara kita mempunyai masa silam yang gelap, pernah tersasar daripada landasan agama dan melakukan perkara yang dilarang Allah SWT. Namun, keindahan Islam ialah pintu taubat sentiasa terbuka selagi nyawa belum sampai ke halkum. Allah SWT berfirman dalam Surah az-Zumar, ayat 53 yang bermaksud: 

"Janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa." 

Ayat ini mengajar kita supaya tidak berbangga dengan dosa, sebaliknya menyesalinya, memohon keampunan dan berusaha menjadi insan yang lebih baik. Jika dahulu kita pernah melakukan maksiat, jadikanlah pengalaman itu sebagai pengajaran, bukannya bahan untuk bermegah-megah di hadapan orang ramai. Tidak perlu menceritakan setiap keburukan masa lalu semata-mata mahu kelihatan hebat, berani atau berpengalaman. Sesungguhnya, kemuliaan seseorang bukan terletak pada banyaknya dosa yang pernah dilakukan, tetapi pada kesungguhannya kembali kepada Allah SWT.

Justeru, marilah kita bermuhasabah dan memeriksa kembali keadaan hati masing-masing. Adakah kita semakin takut melakukan dosa atau semakin selesa mempermainkan batas agama? Adakah kita malu terhadap kesalahan yang pernah dilakukan atau sudah hilang rasa malu sehingga maksiat dijadikan bahan hiburan dan kebanggaan? Lebih-lebih lagi bagi mereka yang mempunyai pengaruh dan sering menjadi perhatian masyarakat, setiap kata-kata dan tindakan sewajarnya mengambil kira tanggungjawab sebagai contoh kepada generasi muda. 

Janganlah kita menjadi manusia yang dangkal dalam menilai sesuatu perkara sehingga berbangga menceritakan keburukan diri sendiri kepada khalayak. Jika Allah SWT telah menutup aib kita, jagalah penutupan itu dengan taubat dan kesyukuran. Jangan bangga kerana pernah melakukan dosa, tetapi bersyukurlah jika Allah SWT masih memberikan peluang untuk kita bertaubat. Jangan jadikan maksiat sebagai cerita kebanggaan, sebaliknya jadikan keinsafan sebagai bukti bahawa hati kita masih hidup dengan iman. 

#podcast#dosa#pahala#jahil


 

Comments