Gelombang reformasi sosial di Arab Saudi di bawah dasar Wawasan 2030 yang diterajui oleh Putera Mahkota Mohammed bin Salman kini semakin rancak sehingga mencetuskan pelbagai polemik dalam kalangan umat Islam global. Kebelakangan ini, bandar-bandar utama seperti Riyadh mula menyaksikan sambutan Halloween secara besar-besaran, lengkap dengan pemakaian kostum seram dan hiasan bertema di kawasan awam. Fenomena ini menimbulkan kerisauan yang mendalam memandangkan Arab Saudi merupakan kiblat umat Islam dan penjaga kepada dua kota suci. Sungguh mengecewakan apabila sebuah negara yang menjadi paksi syiar Islam kini dilihat semakin hanyut mengikut arus pemodenan barat demi mengejar agenda liberalisasi.
Halloween merupakan sebuah perayaan kuno berasal daripada tradisi kaum Celtic yang dikenali sebagai Festival Samhain, bertujuan untuk menghalau roh jahat dan menyambut kedatangan musim sejuk. Apabila perayaan yang sarat dengan unsur syirik dan khurafat ini ditiru oleh umat Islam, hukumnya adalah jelas haram. Nabi Muhammad SAW telah mengingatkan kita dalam sebuah hadis sahih: "Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia adalah daripada kalangan mereka" (Riwayat Abu Daud). Malah, Allah SWT juga berfirman dalam Surah Al-Furqan ayat 72 yang memuji hamba-Nya yang tidak menghadiri serta tidak menyaksikan majlis-majlis maksiat atau perayaan orang kafir yang bertentangan dengan tauhid.
Isu ini seharusnya menjadi amaran dan kesedaran buat umat Islam, khususnya di Malaysia agar tidak mudah terikut-ikut dengan trend sedemikian. Kita dituntut untuk hidup harmoni dan menghormati kepelbagaian bangsa serta agama di negara ini, namun toleransi tersebut ada batasnya. Menghormati tidak bermakna kita perlu turut serta atau memeriahkan ritual dan perayaan yang jelas bercanggah dengan akidah Islamiah. Cukuplah sekadar menjaga hubungan baik sesama manusia tanpa menggadaikan prinsip agama demi memastikan pegangan tauhid kita dan generasi akan datang kekal terpelihara.
#Halloween #arabsaudi #liberalismo #HukumIslam

Comments
Post a Comment