Tindakan mendedahkan maklumat peribadi seseorang atau doxing bukan sekadar mengundang kecaman di media sosial, malah boleh mengancam keselamatan dan menjejaskan reputasi mangsa. Lebih membimbangkan, pasangan, anak-anak dan ibu bapa yang tidak bersalah turut menjadi sasaran. Mangsa mungkin hidup dalam ketakutan, manakala gangguan berterusan boleh menjejaskan pekerjaan serta sumber rezeki. Dalam Islam, menjaga maruah dan keselamatan orang lain merupakan tuntutan yang tidak boleh dipandang ringan.
Islam melarang umatnya mencari-cari kesalahan dan membuka aib sesama manusia. Allah SWT berfirman dalam Surah al-Hujurat, ayat 12 yang bermaksud:
“Dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang.”
Justeru, netizen bukanlah penyiasat atau penghukum yang bebas menyebarkan identiti seseorang. Alasan kepentingan awam juga bukan lesen untuk mendedahkan segala maklumat peribadi. Walaupun sesuatu hantaran telah dipadam, ancaman dan kesannya mungkin masih berpanjangan.
Budaya mendedahkan identiti secara melulu hanya menghakis kepercayaan dan keselamatan dalam dunia digital. Rasulullah SAW bersabda:
“Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata baik atau diam.” (HR Bukhari dan Muslim).
Hadis ini menjadi peringatan agar setiap perkongsian dibuat dengan penuh tanggungjawab. Maklumat yang tersedia secara terbuka juga boleh disalahgunakan jika disebarkan tanpa pertimbangan. Oleh itu, fikir sebelum berkongsi, pelihara aib sesama insan dan jangan jadikan media sosial sebagai medan menjatuhkan maruah orang lain.
#doxing#kebocoranmaklumat#mediasosial#netizen

Comments
Post a Comment