Permainan video hari ini bukan sekadar hiburan, malah boleh mempengaruhi cara seseorang berfikir, bertindak dan berinteraksi dengan persekitaran. Permainan seperti Grand Theft Auto (GTA) 6 menampilkan dunia jenayah yang penuh dengan keganasan, pembunuhan, rompakan, penggunaan dadah dan pelbagai perlakuan tidak bermoral. Malah, permainan ini dikategorikan untuk pemain dewasa kerana kandungan keganasan, unsur seksual serta penggunaan dadah dan alkohol. Walaupun permainan ganas tidak semestinya menjadikan seseorang penjenayah, pendedahan berulang terhadap kandungan sedemikian wajar diberikan perhatian kerana berpotensi mempengaruhi emosi, persepsi dan penerimaan seseorang terhadap keganasan.
Lebih membimbangkan, isu GTA 6 bukan hanya berkaitan kandungan permainannya, tetapi turut melibatkan latar belakang syarikat induknya. Rockstar Games, pembangun GTA 6, dimiliki oleh Take-Two Interactive yang turut memiliki Zynga. Rekod korporat Take-Two menyenaraikan beberapa entiti perniagaan di Israel, termasuk Zynga Israel Ltd dan Storemaven Ltd. Pada Oktober 2023, Take-Two dan Zynga turut menyumbang kira-kira AS$297,000 untuk menubuhkan tabung bantuan melalui operasi mereka di Israel. Laporan berkaitan menyebut sebahagian bantuan digunakan untuk keperluan keluarga mangsa dan bekalan kepada tentera Israel. Terdapat juga laporan mengenai penglibatan pekerja dalam projek komunikasi yang mempromosikan naratif Israel di luar negara.
Persoalannya, sampai bila kita mahu menganggap semua ini sekadar hiburan tanpa memikirkan kesan dan tanggungjawab disebaliknya? Sebagai pengguna, kita mempunyai pilihan untuk menilai kandungan yang kita nikmati dan syarikat yang kita sokong melalui pembelian produk mereka. Lebih-lebih lagi, ibu bapa perlu mengambil berat tentang permainan yang dimainkan anak-anak, termasuk had umur dan pendedahan kepada unsur keganasan serta perlakuan tidak bermoral.
Jangan sampai hiburan menjadi alasan untuk kita membiasakan diri dengan keganasan, mengabaikan nilai kemanusiaan atau menutup mata terhadap isu yang melibatkan penderitaan orang lain. Bijak memilih hiburan, prihatin terhadap pengaruhnya dan teliti sebelum menyumbang kepada keuntungan sesebuah syarikat.
#gta6 #GTA6Gameplay #gta6clips #GTA6Hype #Israel #IsraelIsTerroristCountry

Comments
Post a Comment