JARI LAJU MENGHINA, LIDAH MUDAH MENCELA… INIKAH AKHLAK UMAT ISLAM KITA?


Pernah tak kita terfikir, kenapa hari ini sesama umat Islam di Malaysia begitu mudah bergaduh, menghina dan menjatuhkan maruah orang lain hanya kerana berbeza pandangan? Di Thread, ruangan komen yang penuh dengan makian, fitnah dan sindiran, seolah-olah menjatuhkan orang lain sudah menjadi hiburan biasa.

Lebih menyedihkan, ada yang rajin berkongsi ayat al-Quran dan ceramah agama, tetapi dalam masa yang sama begitu mudah mencaci sesama saudara Islam. Apa akibatnya kalau budaya ini terus dibiarkan? Persaudaraan semakin retak, kebencian semakin subur, fitnah tersebar dan dosa terus dikumpul tanpa kita sedar.

Rasulullah SAW bersabda: "Seorang Muslim ialah orang yang menjadikan Muslim lain selamat daripada gangguan lidah dan tangannya." (Riwayat al-Bukhari, no. 10). Hadis ini patut membuatkan kita tertunduk malu kerana apa gunanya kita mengaku mencintai Islam, tetapi kata-kata dan tulisan kita sendiri menjadi sebab orang lain terluka?

Jadi, adakah kita perlu berdiam diri apabila melihat kesalahan? Tidak! Tegurlah dengan hikmah, berhujahlah dengan ilmu dan pertahankan kebenaran tanpa menghina atau mengaibkan orang lain. Jangan jadikan alasan menegakkan agama sebagai lesen untuk mencerca, kerana Islam mengajar kita menjaga akhlak walaupun ketika berbeza pendapat.

Wahai umat Islam di Malaysia, sudah tiba masanya kita berhenti menjadikan media sosial sebagai gelanggang menyebarkan kebencian! Sebelum menekan butang 'Post', 'Share' atau menulis komen, tanyalah diri sendiri: Adakah tulisan ini membawa pahala atau sedang menempah dosa yang bakal dipersoalkan di hadapan Allah nanti? Renung-renungkanlah…

#MuhasabahDiri #JagaLisan #fitnahakhirzaman #Umatislam #Dakwahpendek


 

Comments