Sebelum ini, pernah tular sebuah video di media sosial yang memperlihatkan beberapa individu tidak mampu menjawab soalan asas berkaitan nama datuk Nabi Muhammad SAW. Situasi ini sewajarnya menjadi bahan muhasabah buat kita dalam menilai sejauh mana kita mengenali dan mencintai Baginda. Dalam keghairahan masyarakat hari ini menjadikan artis dan selebriti sebagai idola sehingga mampu menghafal biodata serta mengikuti setiap perkembangan kehidupan mereka, sejauh manakah pengetahuan kita tentang insan agung yang membawa risalah Islam kepada seluruh umat manusia?
Dalam konteks ini, seruan Al-Habib Ali Zaenal Abidin Al Hamid agar kecintaan terhadap Rasulullah SAW diterapkan sejak kecil amat bertepatan dengan realiti semasa. Arus hiburan dan pengaruh media sosial yang semakin mendominasi kehidupan masyarakat menuntut ibu bapa memainkan peranan yang lebih proaktif dalam memperkenalkan sirah, keturunan, keperibadian serta perjuangan Rasulullah SAW kepada generasi muda. Bagaimanakah kecintaan terhadap Baginda dapat disemai sekiranya usaha untuk mengenali Baginda sendiri diabaikan?
Islam tidak melarang umatnya meminati artis atau menikmati hiburan yang tidak bercanggah dengan syariat. Namun, ketaksuban yang melampaui batas sehingga mengabaikan tuntutan agama dan kecintaan terhadap Rasulullah SAW perlu diperbetulkan. Baginda bersabda yang bermaksud: “Tidak sempurna iman seseorang daripada kamu sehingga aku lebih dicintainya daripada bapanya, anaknya dan seluruh manusia.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Hadis ini menjadi peringatan bahawa kecintaan terhadap Rasulullah SAW seharusnya mengatasi kecintaan kepada manusia lain.
Justeru, jadikanlah fenomena ini sebagai ruang muhasabah, bukan medan untuk menghukum atau memperlekehkan sesiapa. Jika kita sanggup meluangkan masa, mencurahkan tenaga dan membelanjakan wang ringgit demi insan yang kita minati, apakah usaha yang telah kita lakukan untuk mengenali dan mencintai Rasulullah SAW? Jangan sampai kita terlalu mengenali insan yang menghiburkan kehidupan dunia, tetapi mengabaikan insan yang membawa risalah sebagai petunjuk menuju kebahagiaan dunia dan akhirat. Marilah kita kembali mendalami sirah, memperbanyakkan selawat dan menghidupkan sunnah Baginda.
Kenali Rasulullah, cintai Rasulullah, teladani Rasulullah.
#CintaRasulullah #Rasulullahﷺ #DakwahIslam #SunnahNabi

Comments
Post a Comment