PATUNG LEMBU EMAS SAMIRI BILA KEKAGUMAN BERTUKAR MENJADI PEMUJAAN IKTIBAR BUAT UMAT ISLAM


Kisah lembu emas Samiri menjadi peringatan bahawa manusia boleh tersasar apabila kekaguman mengatasi keimanan. Ketika Nabi Musa AS meninggalkan kaumnya untuk bermunajat, Samiri menghasilkan patung anak lembu emas yang mengeluarkan bunyi, lalu sebahagian Bani Israel menjadikannya sembahan atas rasa kekaguman walaupun telah diperingatkan oleh Nabi Harun AS. Surah Taha ayat 85–91 merakamkan bagaimana mereka terpedaya sehingga menyekutukan Allah SWT. Pengajarannya jelas, sesuatu yang memukau pandangan tidak semestinya membawa manusia kepada kebenaran.

Berhala juga tidak terbatas kepada bentuk lembu, patung dalam apa-apa rupa yang dijadikan sembahan tetap bercanggah dengan tauhid. Yang perlu diwaspadai ialah perbuatan memuja, menyembah atau memberikan sifat ketuhanan kepada selain Allah.

Hal ini terkait dengan kontroversi patung robot wanita berwarna emas dalam konsert The Weeknd di Bukit Jalil wajar menjadi ruang muhasabah tentang batas seni dan hiburan. Kehadiran patung semata-mata belum membuktikan berlakunya penyembahan, dakwaan unsur ritual juga perlu diteliti berdasarkan kandungan persembahan sebenar. Bagaimanapun, para alim ulama telah bersuara menegaskan bahawa kebebasan berkarya tidak boleh dijadikan alasan mengetepikan akidah. Umat Islam di Malaysia perlu peka agar keterujaan terhadap artis dan persembahan tidak menyebabkan unsur yang bercanggah dengan agama diterima tanpa pertimbangan.

Seperti inti peringatan Ustaz Azhar Idrus dalam petikan ceramahnya baru-baru ini, agama mesti didahulukan, sama ada sesuatu dibawa atas nama seni, sukan mahupun hiburan. Allah melarang umat Islam bekerjasama dan saling membantu dalam dosa melalui Surah al-Ma’idah ayat 2. Rasulullah SAW pula mengajar supaya kemungkaran dicegah mengikut kemampuan iaitu dengan tindakan melalui kuasa yang sah, lisan atau sekurang-kurangnya membencinya dalam hati (Riwayat Muslim, 49). Zaman media social memudahkan cara untuk mencegah, namun bersuara biarlah berilmu dan beradab, sementara pihak berautoriti perlu memberikan penjelasan serta mengambil tindakan sewajarnya. Jangan sampai hiburan diraikan, tetapi batas akidah dipandang ringan.

#dakwahdigital #theweeknd #TheWeekndFans #hukum


 

Comments