Benar bagai dikata, dunia kini seakan-akan berada di penghujung usia. Yang halal semakin dipandang asing, manakala yang haram mula dinormalisasikan dalam kehidupan. Berdasarkan Kajian Persepsi Rasuah 2026 oleh Merdeka Centre, sebanyak 64 peratus responden menganggap rasuah sebagai perkara biasa dalam kehidupan seharian di Malaysia.
Lebih membimbangkan, daripada 1,209 responden, seramai 60 peratus menganggap rasuah sebagai perkara biasa, 9 peratus berpendapat ia kadangkala diperlukan dan 24 peratus melihatnya sebagai sesuatu yang tidak dapat dielakkan. Persoalannya, sampai bila masyarakat mahu membiarkan kemungkaran ini menjadi sebahagian daripada kebiasaan?
Apa yang lebih menyedihkan, persepsi rasuah turut membelenggu institusi yang sepatutnya menjadi contoh kepada masyarakat. Agensi penguatkuasaan undang-undang mencatatkan persepsi rasuah yang tinggi, diikuti pemimpin dan parti politik sebanyak 42 peratus serta Ahli Parlimen 36 peratus. Institusi lain seperti pihak berkuasa tempatan, penjawat awam dan badan kehakiman juga tidak terkecuali.
Dalam Islam, rasuah merupakan perbuatan haram yang mengundang kemurkaan Allah SWT. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud,
“Allah melaknat pemberi rasuah dan penerima rasuah.” (HR Abu Daud).
Apabila perkara yang jelas diharamkan Allah SWT mula dianggap biasa, tidakkah ini menjadi peringatan tentang semakin lunturnya penghayatan iman dan nilai agama dalam kehidupan umat Islam?
Justeru, siapakah yang harus dipersalahkan apabila masyarakat semakin menerima rasuah sebagai suatu kebiasaan? Adakah pemimpin yang gagal menunjukkan teladan, masyarakat yang semakin hilang prinsip atau diri kita sendiri yang terlalu mudah berkompromi dengan kemungkaran?
Hakikatnya, tanggungjawab membanteras rasuah terletak pada setiap lapisan masyarakat. Islam tidak pernah menghalalkan sesuatu kemungkaran hanya kerana ia dilakukan oleh ramai orang. Jangan sampai kerana terlalu mengejar kemewahan dunia, manusia sanggup menggadaikan amanah dan melupakan perhitungan di akhirat. Sesungguhnya, apabila rasuah sudah dianggap biasa, yang perlu dibimbangkan bukan sekadar rosaknya sistem pentadbiran negara, tetapi juga rosaknya hati manusia yang semakin hilang rasa takut kepada Allah SWT.
#rasuah #jenayah #dosa #murkaAllah #Malaysia

Comments
Post a Comment