VIRAL ITU SEKEJAP, TAPI AIB YANG TERSEBAR MUNGKIN KEKAL SELAMANYA!

 


Zaman sekarang bila ada isu rumah tangga viral laju je jari kita tekan share, komen dan buat spekulasi sampai lupa yang terlibat juga ada maruah dan perasaan. Terbaru, isu The Melvins melibatkan Syida Melvin dan bekas suaminya menjadi perhatian apabila konflik mereka disiarkan secara langsung di media sosial, dengan Syida menjelaskan bahawa beliau terpaksa berbuat demikian kerana sudah buntu mencari penyelesaian.

Mengulas soal menjaga aib rumah tangga, Ustaz Wadi Annuar mengingatkan agar masalah peribadi orang lain tidak dijadikan bahan bualan, apatah lagi 'content' untuk meraih perhatian. Islam melarang perbuatan mencari dan menyebarkan keaiban kerana ia boleh menjatuhkan maruah, mengundang fitnah serta merosakkan hubungan sesama manusia.

Allah SWT berfirman dalam Surah Al-Hujurat, ayat 12: وَلَا تَجَسَّسُوا وَلَا يَغْتَب بَّعْضُكُم بَعْضًا yang bermaksud, “Dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain.” Ayat ini mengingatkan kita bahawa menjaga lidah dan jari daripada menyebarkan keburukan orang lain merupakan sebahagian daripada tuntutan akhlak seorang Muslim.

Rasulullah SAW juga bersabda bahawa sesiapa yang menutup aib seorang Muslim, Allah akan menutup aibnya pada hari kiamat (Riwayat Muslim). Namun, menjaga aib bukan bermaksud kita perlu berdiam diri terhadap kezaliman, sebaliknya pendedahan yang diperlukan untuk mendapatkan perlindungan, menuntut hak atau mencari keadilan hendaklah dilakukan secara berhemah melalui saluran yang sesuai.

Wahai rakyat Malaysia terutama yang beragama Islam, sebelum kita membuka aib sendiri atau menekan butang share tentang keburukan orang lain, tanyalah diri: “Kalau aib aku pula yang tersebar, adakah aku sanggup seluruh dunia mengetahuinya?” Jadikan isu ini sebagai muhasabah bersama kerana tidak semua yang kita tahu perlu diceritakan, dan tidak semua yang viral perlu disebarkan.

#Rumahtangga #Peringatanbersama #EtikaMediaSosial #TheMelvins


Comments