ANGGOTA-ANGGOTA polis yang diserang pengganas komunis
di Balai Polis Bukit Kepong pada 1950.
Hari ini (23 Februari 2019), genap 69 tahun tragedi
menyayat hati menjelang waktu Subuh, 23 Februari 1950.
Peristiwa ini tidak pernah luput daripada ingatan dan
kenangan setiap rakyat Malaysia apabila segerombolan pengganas komunis
melancarkan serangan mengejut ke atas Balai Polis Bukit Kepong yang terletak
kira-kira 59 kilometer dari Muar, Johor.
Peristiwa hitam yang berlaku kira-kira 69 tahun lalu
itu terpahat sebagai kemuncak kekejaman pengganas komunis di Tanah Melayu yang
bertujuan membalas dendam terhadap pasukan keselamatan yang telah membunuh
ramai anggota mereka sejak perintah Darurat diisytiharkan pada tahun 1948.
Abdullah C. D dalam buku Memoir Abdullah CD Bahagian
II: Penaja dan Pemimpin Rejimen Ke-10 (2007) mengakui, serangan mengejut
kira-kira pukul 4.30 pagi, menjelang waktu Subuh itu digerakkan dengan kekuatan
satu kompeni pasukan gabungan komunis yang terdiri daripada anggota Cina dan
dua platun seksyen Melayu di bawah pimpinan Mat Indera.
“Mereka mengetahui bahawa polis-polis di situ terdiri
daripada orang Melayu. Untuk mengelakkan pertumpahan darah yang besar mereka
tidak putus-putus melaungkan seruan ‘surrender’, ‘buang senapang tak mati’,
agar polis-polis itu terselamat dari maut.
“Akan tetapi kerana polis-polis itu berlawan
bermati-matian, mereka terus ditekan dengan tembakan hebat dan lontaran bom
tangan sehingga balai polis tersebut terbakar dan ditawan. Kompeni tersebut
merampas sejumlah senjata dan peluru” (Abdullah C. D. 2007).
Abdul Samad Idris dalam buku 25 Tahun Merdeka (1982)
menyatakan peristiwa menyayat hati itu tetap dikenang sebagai perbuatan tidak
berperikemanusiaan lagi jijik pengganas komunis dalam sejarah negara.
“Pengganas komunis bukan sahaja membunuh anggota
pasukan polis yang mempertahankan kedaulatan negara bahkan turut membunuh
isteri-isteri dan anak-anak pasukan keselamatan yang tidak berdosa.
“Biarlah generasi akan datang terus mengutuk
keganasan komunis yang tidak berperikemanusiaan itu,” tulis Abdul Samad Idris
lagi.
Walaupun diserang bertali arus oleh pengganas, namun
Sarjan Jamil Mohd. Shah bersama 25 anggota polis terlibat mempertahankan diri
dari dalam kubu masing-masing di kawasan balai tersebut.
Pertempuran sengit itu didengari penduduk kampung
bersenjatakan senapang patah dari Kampung Jawa tetapi kemaraan mereka disekat
anggota komunis yang siap sedia berkawal di situ.
Menurut Abdul Samad, pihak polis tetap memberi
tentangan sengit terhadap serangan komunis yang dianggarkan dengan kekuatan 10
kali ganda berbanding pasukan keselamatan yang bertahan di Balai Polis Bukit
Kepong itu.
“Kira-kira 250 orang gerila komunis yang diketuai
seorang Melayu dikenali sebagai Mat Indera telah menyeru Sarjan Jamil supaya
menyerah diri. Namun, Sarjan Jamil dan orang-orangnya tidak menyerah kalah
walaupun pasukannya hanya mempunyai kekuatan 25 orang sahaja” (Abdul Samad
Idris 1982: 439).
Menurut Abdul Samad, pihak pengganas terus
menggandakan serangan sehingga berlarutan menghampiri pukul 6.30 pagi pada 23
Februari 1950.
Ketika itulah, ketua pengganas tersebut, Mat Indera
meniup trompet kali terakhir meminta semua anggota polis menyerah diri jika
mahu selamat tetapi disahut oleh Sarjan Jamil dengan laungan: “Pihak polis
tidak akan menyerah diri biar apa pun terjadi!”.
Tembak menembak bergema kembali dan pihak komunis mula
melontar bom tangan ke arah balai polis tersebut menyebabkan asap
berkepul-kepul menjulang ke udara. Selepas lima jam pertempuran sengit berlaku
antara kedua belah pihak, pihak komunis berjaya menawan balai polis itu.
Kematian Sarjan Jamil Mohd. Shah dan rakan-rakannya, tiga anggota pegawai
rendah, anggota polis biasa (6), anggota polis marin (3), anggota polis
tambahan (2) , anggota polis bantuan (5), isteri polis (2), anak anggota polis
yang masih kecil (2) dan orang awam (2), begitu menyayat hati.
Hanya empat anggota polis dan sembilan ahli keluarga
termasuk isteri dan anak-anak mereka terselamat dalam serangan nekad tersebut.
“Kita sendiri tentulah dapat menggambarkan bagaimana
perasaan setiap anggota polis dengan jumlah yang kecil terpaksa menghadapi tiga
ketumbukan pasukan gerila komunis dengan bilangan 10 kali ganda ramainya.
“Tindakan komunis menyerang Balai Polis Bukit Kepong
adalah langkah balas dendamnya setelah anggota keselamatan membunuh 23 orang
pengganas komunis dan mencederakan 17 orang lagi rakan mereka di hutan Labis,
Segamat Johor pada bulan Januari 1950” (Abdul Samad Idris: 440).
Menurut laporan Utusan Malaysia pada 24 Februari 2012,
bekas Ketua Polis Daerah Pagoh, Datuk J. J. Raj menganggap anggota polis yang
terkorban dalam serangan Balai Polis Bukit Kepong sebagai wira yang tiada tolok
bandingnya dalam usaha mempertahankan kedaulatan negara menentang keganasan
komunis.
“Mat Indera telah meminta polis serah diri tetapi
Sarjan Jamil tetap tidak mahu menyerah. Ketika itu mayat berada di sebelah
kanan dan kiri Sarjan Jamil. Kalau manusia biasa tentu dia sudah serah diri
tetapi semangat Sarjan Jamil begitu kental, beliau pada saya adalah anggota
polis paling berani di negara ini,” beritahu J.J Raj yang menyelia 20 buah
balai polis termasuk Balai Polis Bukit Kepong di bawah jagaannya ketika itu.
Sumber : Utusan Online- 23 Februari 2019
Comments
Post a Comment