[ARTIKEL] SIRI 2: APAKAH NARATIF-NARATIF ISIS YANG DISEBARKAN KEPADA UMAT ISLAM DAN BAGAIMANA MENANGKIS NARATIF TERSEBUT.
Sumber: Lt Kol Dr Zulkarnain Haron.
Naratif 6 – ISIS mempromosi bahawa Khilafah Islamiyah mereka adalah model Negara Islam seperti mana Negara Islam Madinah (Piagam Madinah).
Bagaimana Melawan Naratif Ini:
Negara Islam kekal menjadi wacana yang tidak henti dilaungkan di setiap peradaban Islam. Sistem negara Islam digembur-gemburkan sebagai sistem politik yang paling ideal kerana segala peraturan dan ketentuannya bersumber dari Tuhan sehingga dimungkinkan tidak ada kecacatan dan kekurangan jika sistem ini diterapkan. Umat Islam terlupa bahawa Sayidina Umar semasa menjadi Khalifah pernah mengambil model ekonomi dan percukaian dari amalan kerajaan Byzantin dan Romawi yang mana kedua-dua kerajaan ini adalah kerajaan kafir. Hingga kini konsep negara Islam memang terus diperjuangkan oleh pelbagai gerakan baik umat Islam di Timur Tengah mahupun di Asia Tenggara. Sebagai contoh, Hizbut Tahrir menjadi salah satu organisasi multi nasional yang paling lantang memperjuangkan konsep negara Islam (sistem Khilafah) tetapi mereka memperjuangkan melalui kaedah dakwah (mengikut dakwaan mereka).
.
Selain itu, sekarang ini kita mengenal organisasi Islam radikal bernama ISIS iaitu sebuah Khilafah Islamiyah ciptaan mereka yang meliputi sebahagian wilayah Iraq dan Syria. Di bawah pemimpinnya Abu Bakar al-Baghdadi, organisasi ini terus melakukan tindakan keganasan dan kekerasan di di Iraq dan Syria serta beberapa negara di dunia ini. Jika kita meninjau perjuangan ISIS, Hizbut Tahrir dan Al Jama’ah Al Islamiyah dapat disimpulkan bahawa sistem negara Islam (Islamic State) menurut beberapa kelompok ini dianggap sebagai sistem politik yang paling ideal untuk mengatur peradaban manusia sehingga perlu diperjuangkan jika ingin mencapai sebuah peradaban yang ideal.
.
Namun jika dilihat dalam sudut pandang sejarah, benar kah Nabi S.A.W pernah mencontohkan penegakan sebuah negara Islam dengan berdasarkan sumber-sumber hukum Islam (al-Qur’an dan Hadis)?. Perjuangan dakwah Rasulullah memang diakui sangat rumit dan sangat berat penentangannya. Bermula dengan dakwah secara diam-diam, akhirnya Rasulullah melakukan hijrah ke Madinah dan membuat peradaban. Di Madinah, Rasulullah memang banyak membuat perubahan yang cukup besar. Berbagai agenda untuk menyatukan pelbagai kabilah yang bertikai menjadi agenda keutamaan Rasulullah.
.
Di atas kebijaksanaan Nabi S.A.W menyatukan kabilah-kabilah yang bermusuhan ini satu masyarakat yang aman berjaya dibangunkan di Madinah. Nabi S.A.W memperkenalkan perjanjian antara kabilah yang dipanggil Mithaq-i-Madinah (Perjanjian Madinah) yang memberi kesaksamaan hak kepada semua kabilah dan agama seperti Islam, Yahudi dan lain-lain agama. Justeru, setiap kelompok dan agama bebas mengamalkan agama dan tradisi masing-masing dengan aman dan harmoni. Perjanjian Madinah ini secara tidak langsung kemudiannya menjadi konstitusi atau perlembagaan bagi ’negara” Madinah di mana ia memayungi undang-undang yang selama ini diamalkan oleh kabilah-kabilah di pelbagai wilayah di Madinah pada ketika itu.
.
Piagam Madinah sebenarnya merupakan memorandum of understanding atau perjanjian yang digunakan sebagai dasar untuk mengatur kehidupan bermasyarakat di Madinah kala itu. Piagam Madinah terdiri dari 47 klausa. Setiap klausa bertujuan mengikat dan menyatukan semua kabilah dan tidak hanya mengutamakan kepentingan kaum Muslimin semata-mata.
.
Sebagai contohnya dalam Klausa 2 – disebutkan bahawa “Kaum Muslimin adalah umat yang bersatu utuh , mereka hidup berdampingan dengan kelompok-kelompok lain” yang memberikan indikasi dan membuktikan bahawa umat Islam tidaklah menjadi kelompok yang eksklusif dari masyarakat yang pelbagai walaupun jumlah mereka mendominasi Kota Madinah. Dalam Klausa 24 pula , Piagam ini menyatakan bahawa “orang Islam dan Yahudi harus saling bantu membantu dalam memikul biaya peperangan” dan dalam Klausa 44, Piagam ini menyatakan “mereka para pendukung Piagam Madinah harus saling bantu membantu jika kota Yathrib (Madinah) di serang”.
.
Apa yang menarik dalam intipati Piagam Madinah ialah Nabi S.A.W telah menyedari bahawa semangat nasionalisme yang menjadi dasar pembentukan sebuah bangsa dan bukannya agama Islam yang dijadikan dasar penyatuan oleh Nabi S.A.W. Masyarakat Madinah yang pelbagai agama dan budaya disatukan berdasarkan konsep nasionalisme Madinah dan ia terbukti amat efektif. Apa yang lebih menarik lagi adalah Nabi S.A.W tidak menggunakan Islam sebagai dasar negara. Ini terbukti bahawa tidak ada satu klausa pun yang menjelaskan mengenai Islam sebagai dasar negara yang ketika itu dipimpin oleh Nabi S.A.W. Pada ketika itu, Nabi S.A.W tidak hanya memperjuangkan kepentingan dan kelangsungan hidup umat Islam saja, namun masyarakat Madinah secara keseluruhannya.
.
Semasa kepimpinan Nabi S.A.W di Madinah, baginda tidak pernah secara jelas mengatakan sistem kepemimpinannya tersebut sebagai Khilafah, Imamah ataupun Daulah. Nabi S.A.W juga belum sempat menciptakan sistem pergantian kepemimpinan. Sebab itu selepas kewafatan Nabi S.A.W terjadinya kekeliruan tentang bagaimana tata cara pemilihan pemimpin politik. Sebagai seorang Rasul memang Nabi S.A.W tiada pengganti tetapi sebagai seorang pemimpin politik perlu adanya seorang penerus. Kekeliruan tentang tatacara memilih pengganti pemimpin politik ini terus menjadi polemik dalam dunia Islam termasuklah di zaman Khalifah Ar Rashidin, Dinasti Umaiyyah, Dinasti Abassiyah dan Dinasti Turki Uthmaniyah malah hingga ke hari ini. Sebab itu kita melihat pelbagai praktik pemerintahan yang diamalkan oleh pelbagai negara Islam di dunia pada hari ini (contohnya demokrasi, sekularisme, nasionalisme, autokratik, monarki, rejim tentera dan sebagainya).
.
Sebenarnya, Perjanjian Madinah (perjanjian antara kabilah) ini bukan lah merupakan perlembagaan bagi sebuah Negara Islam seperti yang dicanangkan oleh golongan ISIS. Jika ia benar merupakan sebuah konstitusi atau perlembagaan bagi sebuah negara maka ia sepatutnya digunakan oleh Nabi S.A.W sebagai perlembagaan negara setelah tentera Islam menakluk Mekah pada tahun 630 Masihi. Atas alasan yang sama, mengapakah perlembagaan ini tidak digunakan oleh Khalifah Abu Bakar untuk mentadbir Mekah setelah beliau dilantik menjadi Khalifah yang pertama selepas kewafatan Nabi S.A.W pada tahun 632 Masihi. Ini menjelaskan bahawa Perjanjian Madinah itu adalah perjanjian antara kabilah yang terpakai di Madinah sahaja dan ia diguna pakai dalam konteks dan situasi pada masa tersebut sahaja (one-time contract).
.
Justeru, pembohongan ISIS tentang Khilafah Islamiyah mereka yang mencontohi model Negara Islam Madinah sepertimana yang dilakukan oleh Nabi S.A.W adalah amat jelas. Ciri-ciri Khilafah Islamiyah ciptaan ISIS ini amat jauh berbeza dengan model negara Islam Madinah ciptaan Nabi S.A.W. Oleh itu, umat Islam seharusnya menyedari bahawa naratif ISIS yang mengatakan bahawa Khilafah Islamiyah mereka mencontohi model Negara Islam Madinah adalah satu pembohongan yang jelas dan nyata. Sebagai kesimpulannya, umat Islam jangan lah terkeliru dengan naratif penegakan sebuah Khilafah Islamiyah kerana ia sebenarnya tidak dicontohkan oleh Nabi S.A.W dan perintah tersebut tidak dinyatakan di dalam Al Quran.
IKUTI KAMI 👇
"Bersama Menentang Ekstremis!"
Comments
Post a Comment