MENANGGANI FENOMENA EKSTREMISM AGAMA MENGIKUT PERSPEKTIF MAQASID SYARIAH
[SIRI 3] MASLAHA RAMALAN KEMUNCULAN
GOLONGAN GHULUW (EKSTREM) DI DALAM MASYARAKAT ISLAM.
Hasil analisa Maqasid terhadap fokus kajian ini kita mendapati beberapa perkara utama. Antaranya;
1. Maslaha Ramalan Kemunculan Golongan Ghuluw (Ekstrem) di dalam masyarakat Islam.
Tidak keterlaluan jika dikatakan kemunculan golongan ekstrem ini memang telah diramalkan oleh Rasulullah sendiri. Rasulullah dengan bantuan wahyu Allah telah memaklumi sifat manusia yang pelbagai. Selain ada manusia yang mengambil sifat pertengahan sehingga melahirkan keseimbangan kehidupan, terdapat juga sesetengah manusia yang melampaui batas dengan mengunakan pendekatan Ghuluw dalam kehidupan beragama. Di sinilah letaknya kepentingan Rasulullah yang menetapkan garis panduan wasatiyah untuk kegunaan umat Islam. Elemen golongan Ghuluw ini kemudiannya telah diperincikan oleh sarjana Islam. Dalam perkembangan terkini, andainya kita bandingkan butiran ghuluw yang kedapatan di zaman Rasulullah dengan gerakan salafi jihad, ternyata persamaannya memang jelas kelihatan. Terpenting lagi, kesemua tindakan ekstrem ini bertentangan secara mutlak dengan ketiga Maslaha Daruri, Tahsini Dan Hajiyyiyang terkandung dalam konsep Maqasid Syariah.
Dalam sejarah Islam yang awal, kita dapat mengesan beberapa peristiwa elemen ghuluw ini.
Antaranya;
Pertama, kisah Dzul Khuwaisirah mengherdik Rasulullah kerana tidak puashati dengan cara Rasulullah membahagikan harta rampasan perang Hunain. Beliau memberikan seratus ekor unta kepada Aqra’ bin Habis dan Uyainah bin Harits. Beliau juga memberikan kepada beberapa orang dari tokoh Quraisy dan ketua suku Arab lebih banyak dari yang diberikan kepada yang lain. Melihat hal ini, Dzul Khuwaisirah dengan marah berkata: “Demi Allah ini adalah pembagian yang tidak adil dan tidak mengharapkan wajah Allah”. Pada masa generasi terbaik dan di hadapan manusia terbaik pula, ada seorang yang berani menuduh Rasulullah tidak berlaku adil. Mendengar kata-kata ini Rasulullah bersabda: “Siapakah yang akan berbuat adil jika Allah dan rasul-Nya tidak berbuat adil? Semoga Allah merahmati Musa. Dia disakiti lebih dari pada ini, namun dia bersabar.” (HR. Bukhari Muslim)
Rasulullah menerangkan bahawa akan muncul daripada keturunan orang ini kaum pelampau agama. Para ulama menyatakan generasi penerus Dzul Khuwaisirah ini, di zaman kemudiannya menjadi golongan Khawarij. Dalam hadis yang lain, Rasulullah mengambarkan ciri-ciri golonganini: Sesungguhnya akan keluar dari keturunan orang ini satu kaum; yang membaca Alquran, namun tidak melewati kerongkongannya. Mereka membunuh kaum muslimin dan membiarkan para penyembah berhala. Mereka akan keluar dari Islam ini sebagaimana keluarnya anak panah dari buruannya. Jika sekiranya aku menemui mereka, pasti aku bunuh mereka seperti terbunuhnya kaum Aad.” (HR. Bukhari Muslim)
Kedua, kisah tiga Sahabat Rasulullah yang bertekad melakukan Ibadah secara melampau.Secara jelas, benih sikap ekstrem ini pernah diperlihatkan tiga orang sahabat Rasulullah ketika mereka bertanya kepada Aisyah tentang ibadah beliau. Dicatatkan bahawa Aisyah menjawab tentang watak Rasulullah yang kuat beribadah. Ketiga-tiga sahabat tadi menjawab dengan tiga cabaran utama yang ingin mengamalkan ibadat mengatasi amalan Rasulullah. Pertama :“Maka aku akan selalu shalat malam dan tidak akan tidur”. Kedua : “Adapun aku, maka aku akan berpuasa sepanjang hari dan tidak akan berbuka.” Dan yang ketiga berkata, “Sedangkan aku tidak akan menikah selama-lamanya”. Mendengarkan hal ini, Rasulullah melarang mereka melakukannya dan berkata, “Sedangkan aku, maka aku shalat malam dan tidur, berpuasa dan berbuka, dan menikahi wanita. Barangsiapa yang membenci Sunahku maka ia bukan dari golonganku.” (HR. Ahmad, Abd bin Humaid, Bukhari, Muslim, Nasa‟i, dan Ibnu Hibban dari Anas bin Malik).
Hadis ini menerangkan tentang elemen wasatiyyah dalam melakukan taklif syarak. Ia boleh dianggap sebagai langkah proaktif Rasulullah agar umatnya tidak terjebak dengan tindakan ekstrem (ghuluw). Sebaliknya, Rasulullah menerangkan bahawa sifat takwa itu bukanlah dengan bersikap ekstrem, berlebihan atau meremehkan, tetapi ia harus disertakan dengan sikap yang seimbang terhadap pelbagai tuntutan syariah.
Ketiga, kisah golongan Khawarij yang dicatat oleh Syahrastani. Dicatatkan, mereka telah melakukan kezaliman terhadap seorang sahabat Saidina Ali dengan cara membelah perut isterinya dan mengeluarkan janinnya.Setelah itu dalam keadaan pedang masih berlumuran darah, mereka memasuki kebun kurma milik seorang Yahudi. Pemilik kebun itu ketakutan lalu berkata: Ambillah seluruhnya apa yang kamu mahu”. Ketua khawarij itu menjawab dengan: “Kami tidak akan mengambilnya kecuali dengan membayar harganya. Apa yang boleh difahami adalah walaupun mereka mempunyai kesungguhan dalam beribadah; tetapi mereka menghalalkan darah umat Islam. Untuk itu mereka tidak segan-segan melakukan keganasan terhadap umat Islam sendiri.
Sihabuddin Afroni dalam mengulas peristiwa catatan Syahrastani ini menambah bahawa kebanyakannya golongan Khawarij ini berusia muda dan belum mencapai kematangan sejati. Akibatnya, mereka hanya mengutamakan semangat dan emosinya, tanpa dilandasi oleh ilmu dan pertimbangan yang matang. Fahaman khawarij dikesan tidak pernah pupus, sebaliknya berkembang secara tersembunyi di beberapa kawasan negara Teluk. Apa yang jelasnya saki baki ideologi khawarij kembali muncul apabila tercetusnya peluang seperti wujudnya anarki dalam masyarakat Arab selepas peristiwa Arab Spring.
Jika dilakukan perbandingan sifat ekstrem dalam ketiga-tiga riwayat di atas dengan amalan ekstrem yang dilakukan oleh gerakan salafi jihad, khususnya ISIS- ternyata ramalan yang dibuat oleh Rasulullah memang benar. Hal ini boleh dilihat daripada tindakan ekstrem yang dilakukan oleh ISIS di Syria dan Iraq. Ianya menjadi bahan utama yang didedahkan oleh media barat untuk membuktikan nisbah kezaliman yang tidak berperi kemanusiaan dilakukan oleh penganut Islam. Ia secara langsung menyumbang kepada buruknya citra Islam di pandangan masyarakat antarabangsa.
PENULIS: Rahim R.A, Ramli M.A, Razak M.I, Rosele M.I, Kahal S.M
SUMBER: AKADEMI PENGAJIAN ISLAM, UNIVERSITI MALAYA
Comments
Post a Comment