[SIRI 1] PENDEKATAN FIQH ANTI KEGANASAN: ANALISIS TERHADAP REALITI PENGLIBATAN WANITA MALAYSIA (PENGENALAN DAN LATAR BELAKANG)
[SIRI 1] PENGENALAN DAN LATAR BELAKANG
OLEH: Muhd Imran Abd Razak
Penggunaan istilah ekstremisme pada hari ini sering dirujuk kepada ekstremisme agama kerana gerakan ekstremisme moden dikatakan banyak dipengaruhi oleh religious motivation (Wilkinson, 2000; Wood, 2015; Musselwhite, 2016).
Oleh itu, secara umumnya ekstremisme agama dalam kajian ini merujuk kepada fahaman melampau yang cuba menyandarkan tindakan keganasan mereka kepada agama Islam walhal hakikatnya bertentangan dengan ajaran Islam. Menjadi kebimbangan di peringkat lokal dan global, kumpulan ekstremisme agama telah mendapat tempat dalam kalangan sebahagian generasi muda termasuk golongan wanita dan sedang bergerak aktif secara tersembunyi. Sekiranya tidak ditangani dengan pendekatan yang tepat, ia akan terus menular dalam masyarakat Islam dan menimbulkan situasi yang tidak harmoni dalam masyarakat Malaysia khususnya dan masyarakat antarabangsa umumnya. Seiring aspirasi
Dasar Keselamatan Negara 2017 yang menekankan soal kedaulatan, keselamatan dan keharmonian negara Malaysia daripada ancaman pengganas, kajian ini menganalisis isu-isu fiqh penglibatan wanita dalam kumpulan kumpulan militan Islamic State atau IS dengan menggunakan pendekatan yang diberikan nama Fiqh Anti Keganasan. Pendekatan ini dibina secara khusus dengan bertunjangkan manhaj wasatiyyah dan pengambilkiraan aspek realiti bagi membendung dan mengatasi fahaman ekstremisme agama daripada terus berkembang.
Di Malaysia, kes pertama yang didakwa di mahkamah berhubung penglibatan wanita dalam kumpulan IS adalah pada tahun 2014 yang melibatkan seorang wanita bernama Ummi Khalsom Bahak, 25 tahun. Ummi Khalsom ditahan dan didakwa kerana cuba memberi sokongan kepada kumpulan IS dengan mengambil mengambil penerbangan ke Brunei dan seterusnya ke Turki untuk mengahwini seorang pejuang IS yang dikenalinya melalui media sosial (Chong, 2014).
Selain itu, terdapat juga seorang Doktor yang didakwa daripada Malaysia dilaporkan terlibat dengan kumpulan IS apabila dia dikatakan berhijrah ke Syria dan mengahwini seorang pejuang IS berasal daripada Maghribi (Haider Yutim, 2014). Selain itu juga, kes yang popular di media massa Malaysia adalah kes yang melibatkan seorang bekas mahasiswi Universiti Malaya bernama Siti Noor Aishah, 30 tahun. Beliau dijatuhi hukuman penjara lima tahun, selepas didapati bersalah memiliki 12 buah buku berkaitan kumpulan pengganas, Mac tahun 2016 (Farah Marshita, 2017). Dalam perbicaaraan terdahulu, Siti Noor Aishah yang diberhentikan pengajian oleh pihak Universiti Malaya pada Januari 2014, dikatakan mahu membunuh diri jika hasratnya untuk berjihad di Syria dihalang. Dia juga pernah diajak melarikan diri ke Thailand oleh seorang lelaki bernama Muammar Gadafie (Ahmad Johari, 2017).
Walaupun penglibatan wanita dalam kumpulan IS di Syria dan Iraq masih terkawal, perkembangan yang melibatkan fungsi atau peranan golongan ini dalam aktiviti ekstremisme kumpulan IS merupakan sesuatu yang membimbangkan (Farabi Sheikh Said Al Jabri, 2017). Tambahan pula, belum ada data statistik terkini tentang keberkesanan program deradikalisasi yang dijalankan terhadap bekas-bekas tahanan yang dikaitkan dengan fahaman dan kumpulan ekstremisme agama semenjak Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dimansuhkan pada tahun 2013 (Zamihan Mat Zin, 2017).
Pengabaian tumpuan terhadap potensi ekstremisme golongan wanita bakal meletakkan negara Malaysia dalam risiko yang tinggi. Justeru itu, para pengkaji melihat keperluan kajian pelbagai sudut bagi menangani isu penglibatan wanita dalam usaha counter terrorisme yang lebih berkesan (The Carter Center, 2017).
IKUTI KAMI 👇
"BERSATU MENENTANG KEGANASAN!"
Comments
Post a Comment