[ARTIKEL] PENDEKATAN FIQH ANTI KEGANASAN: ANALISIS TERHADAP REALITI PENGLIBATAN WANITA MALAYSIA
[SIRI 3] MANHAJ WASATIYYAH SEBAGAI ASAS PENDEKATAN FIQH ANTI KEGANASAN
OLEH: Muhd Imran Abd Razak
Dalam berdepan fahaman fiqh yang bersifat ekstrem seperti fahaman kumpulan IS, pendekatan menggunakan manhaj wasatiyyah merupakan jalan terbaik bagi menanganinya. Menurut al-Qaradawi manhaj wasatiyyah sebagai keseimbangan dan kesederhanaan dalam segala sesuatu; di dalam akidah, ibadah, akhlak, muamalat dan perundangan serta jauh daripada berlebih-lebihan dan melampau (AlQaradawi, t.t.). Al- Qaradawi telah meletakkan beberapa prinsip asas tersebut dalam karya-karya beliau. Antaranya termasuklah:
a. Memudahkan dan memberi khabar gembira.
Prinsip memudahkan diaplikasikan dalam penentuan hukum fiqh dan pengeluaran fatwa, manakala prinsip memberi khabar gembira pula diterapkan dalam proses dakwah dan memberi peringatan kepada masyarakat. Terdapat dua bentuk memudahkan dalam penentuan hukum fiqh. Pertamanya ialah memudahkan sesuatu hukum fiqh itu untuk difahami oleh masyarakat (Al-Qaradawi, 1996). Manakala bentuk kedua pula ialah memudahkan hukum fiqh itu sendiri untuk diamalkan dan dipraktikkan dalam kehidupan. Hal ini dapat dilakukan dengan meraikan rukhsah, mengambil pandangan yang lebih ringan bukannya pandangan yang lebih berhati-hati, menyempitkan ruang perkara-perkara yang diwajibkan dan yang dilarang hanya kepada perkara yang sabit dengan nas yang jelas, serta membebaskan diri daripada sifat fanatic (Al-Qaradawi, 1996).
b. Menggabungkan di antara salafiyyah dan tajdid
Salafiah bermaksud kembali kepada usul dan sumber hukum syarak iaitu al-Quran dan al-Sunnah. Manakala tajdid pula bermaksud mengambil kira konteks dan realiti semasa serta membebaskan diri dari kejumudan dan taqlid buta (Al-Qaradawi, t.t.). Bagi mendapatkan pendekatan yang sederhana, kedua-dua aspek ini perlu digabungkan. Hal ini kerana jika diperhatikan secara teliti, kedua-dua aspek ini tidak bertentangan sama sekali, bahkan keduanya berperanan untuk saling melengkapi. Sebagai contohnya, Rasulullah SAW sendiri memberi penjelasan bahawa agama ini sentiasa mengalami pembaharuan dan perkembangan. Sifat agama Islam ini yang kekal relevan sepanjang zaman memerlukannya untuk sentiasa berinteraksi dengan perubahan zaman dan tempat (Al-Qaradawi, t.t.).).
c. Sikap pertengahan di antara zahiriyah dan ahli takwil
Di antara prinsip aliran wasatiyyah ialah mengambil sikap pertengahan di antara kejumudan dalam memahami nas secara literal dengan sikap meluaskan ruang takwil tanpa disiplin dan kayu ukur yang tertentu. Aliran zahiriyah cenderung untuk memahami sesuatu nas syarak dari aspek kefahaman literalnya semata-mata, serta mengabaikan aspek maqasid kepada nas tersebut serta aspek ta‘lilnya. Pendekatan ini sering membawa kepada kefahaman nas yang sempit dan keputusan hukum yang keras. Bahkan aliran ini sering menganggap mereka yang cuba untuk mantakwilkan nas tersebut serta cuba memahami tujuannya sebagai melakukan satu perbuatan bidaah (Al-Qaradawi, 2006). Manakala golongan yang cenderung untuk mentakwilkan nas pula cenderung untuk melakukannya secara berlebihan sehingga mengabaikan nas tersebut dengan alasan untuk menjaga maqasid al-shari‘ah dan maslahah. Kebanyakan golongan ini kebiasaannya telah terpengaruh dengan aliran pemikiran luar seperti liberalisme yang mengagungkan kemampuan akal manusia sehingga sanggup untuk mengenepikan nas Syara’ (Al-Qaradawi, 2006). Oleh itu, kedudukan aliran wasatiyyah ialah pada pertengahan di antara kedua-dua aliran ini, dengan menerima pentakwilan nas namun berdasarkan disiplin yang tertentu dan tidak melampau sehingga mengabaikan nas.
d. Menyeimbangkan di antara perkara thawabit (tetap) dan mutaghaiyirat (boleh berubah)
Thawabit ialah perkara-perkara berkaitan agama yang sudah tetap dan tidak akan berubah. Contohnya ialah perkara berkaitan akidah, kewajipan ibadah fardu, prinsip-prinsip akhlak dan dalil-dalil qat‘i. Manakala mutaghaiyirat pula ialah perkara furu‘ yang boleh menerima perubahan menurut konteks semasa. Contohnya ialah ilmu pertanian, perubatan dan kejuruteraan. Oleh itu pendekatan wasatiyyah menggabungkan kedua-kedua aspek ini dan menyeimbangkannya. Sebagai contohnya ialah tegas dalam perkara usul dan prinsip umum manakala fleksibel pada perkara furu‘ dan bersifat juz’iyyah. Bersikap tegas dalam nilai-nilai agama dan akhlak manakala fleksibel pada urusan-urusan berbentuk duniawi (AlQaradawi, t.t.).
e. Menggabungkan fiqh dan hadis
Pendekatan wasatiyyah yang didokong oleh al-Qaradawi meletakkan prinsip untuk menggabungkan di antara fiqh dan hadis dalam menyelesaikan pelbagai masalah yang dihadapi. Setiap fatwa yang dikeluarkan berdasarkan prinsip ini akan menepati kontekstual dan sangat mendalam. Pemisahan di antara fiqh dan hadis akan menyebabkan kecelaruan dalam proses penentuan hukum. Seseorang ahli fiqh yang tidak menguasai ilmu hadis akan terdedah untuk menyandarkan keputusan hukumnya berdasarkan hadis-hadis yang lemah dan tidak diterima untuk dijadikan dalil hukum. Manakala seorang ahli hadis yang tidak mendalami fiqh pula mungkin akan mengeluarkan keputusan hukum dengan bersandarkan kepada literal hadis tanpa memahami tujuan syariat daripadanya serta cara untuk mengistinbatkan hukum daripadanya (Rumaizuddin Ghazali, 2012). Oleh itu, penggabungan di antara kedua-dua ilmu ini dapat membawa kepada sebuah keputusan hukum yang mantap dan menyeluruh.
f. Meraikan realiti
Antara pendekatan wasatiyyah yang penting ialah menyandarkan sesuatu hukum itu kepada realitinya yang sebenar, dengan menimbangkan di antara maslahat dan mudarat yang wujud. Meraikan realiti ini sangat penting bagi mengambil pendekatan yang sederhana. Hal ini supaya sesuatu keputusan hukum yang dikeluarkan itu mempunyai hubungan dengan realiti semasa dan bukannya sekadar satu khayalan. Oleh itu beberapa perkara perlu diperhatikan supaya sesuatu tindakan yang dilakukan itu sentiasa bertepatan dengan realiti semasa. Antaranya ialah kefahaman terhadap konsep berubahnya hukum dengan sebab berubahnya keadaan zaman dan tempat (Rumaizuddin Ghazali, 2012).
g. Memahami nas yang juz’i dalam kerangka maksud syariah yang menyeluruh
Al-Qaradawi sentiasa menyeru supaya kefahaman nas syariah sesuai dengan maksud syariah. Kelalaian dalam memahami maqasid akan menyebabkan kekeliruan yang besar iaitu tanggapan bahawa Islam tidak lagi sesuai dengan setiap tempat dan zaman (Rumaizuddin Ghazali, 2012). Sekiranya difahami secara mendalam, sebenarnya tidak terdapat sebarang pertentangan untuk menerima nas yang juz’i dan dalam masa yang sama menerima kerangka maqasid al-shari‘ah yang menyeluruh. Hal ini kerana sudah menjadi tabiat Islam itu sendiri iaitu setiap hukum yang disyariatkan Islam adalah bertujuan untuk kemaslahatan manusia itu sendiri. Oleh itu, jelaslah di sini bahawa setiap nas yang juz’i itu dapat difahami menurut kerangka maksud syariahnya yang menyeluruh tanpa berlaku sebarang pertembungan (Al-Qaradawi, 1996).
IKUTI KAMI 👇
https://twitter.com/alhaqcentre
https://al-haqcentre.blogspot.com
https://instagram.com/alhaqcentre
"BERSATU MENENTANG KEGANASAN!"
Comments
Post a Comment