Pengalaman saya
tinggal dan bermotosikal di Indonesia bersama dengan kelompok bekas teroris
jelas amat berbeza sekali.
Mereka amat disenangi
oleh negara dan masyarakat, malah mereka juga diterima sebagai sebahagian dari
entiti penting komuniti dan diberi sokongan yang mantap oleh setiap segenap
lapisan masyarakat.
Malah hubungan rapat
polis Indonesia dan Tentera Nasional Indonesia terhadap kelompok bekas teroris
ini perlu dicemburui.
Di jalanan, mereka
juga mempopularkan istilah teroris hingga adanya Nasi Goreng Teroris dan Sambal
Teroris serta Gojek Teroris. Istilah teroris bukan asing dan dibumikan
sebaiknya, stigma teroris sebagai buruk dan jelik sudah tidak relevan bagi
masyarakat Indonesia.
Keadaan yang amat
berbeza di Malaysia, teroris adalah satu istilah yang tabu dan tidak disenangi
oleh banyak pihak tanpa mengira agama dan etnik.
Bila disebut saja
teroris, yang terlintas di benak fikiran adalah Islam dan Muslim sebagai
teroris, akan tetapi teroris sebenarnya bukanlah satu perkara yang perlu
ditakuti, teroris seharusnya dimurnikan dalam masyarakat ini.
Istilah teroris moden
dipopularkan pada zaman revolusi Perancis 1793-1794. Catatan berkaitan Regime
De La Terreur telah merekodkan 16,594 kematian dengan sebahagian besarnya
adalah warga Perancis yang telah dibunuh dalam aksi-aksi kejam dan diluar
kewarasan manusia pada ketika itu.
Kepala pemimpin dan
penyokong dipenggal dan diarak di sekitar Paris hinggalah kejatuhan rejim
Maximillien Robiespiere pada July 1794. Sejak itulah penggunaan istilah teroris
menjadi amat signifikan dan mempengaruhi semua negara bangsa hingga kini.
Dari segi
historikalnya, teroris ini telah berlaku awal lagi, iaitu sebelum revolusi
Perancis. Kejadian pembunuhan Habil dan Qabil bolehlah dikategorikan sebagai
perbuatan teroris yang pertama, kemudiannya berkembang dengan pertambahan
jumlah umat manusia di dunia ini hingga mengakibatkan terjadinya pelbagai
perbuatan yang berkaitan dengan terorisme.
Tujuan politik
Dari masa ke semasa,
dunia melihatkan siri peperangan dan pembunuhan yang besar dan kejam. Perang
saudara dan perang dunia juga adalah termasuk dalam kategori keganasan oleh
kelompok-kelompok ini.
Akan tetapi kita harus
fahami, ada tiga komponen penting dalam menafsirkan perkara berkaitan
terorisme. Dari segi istilah mudah yang boleh saya berikan adalah “Terrorrism
is a polically motivated using violence towards non-combatant”.
Elemen utama adalah
adalah kepentingan atau tujuan politik. Apa yang dimaksudkan politically
motivated adalah mempunyai matlamat politik, tujuan atau matlamat akhir yang
dimahukan oleh individu atau pergerakan tersebut.
Tidak semestinya untuk
menubuhkan kerajaan khilafah Islamiyyah atau daulah islamiyyah semata-mata,
akan tetapi jika bermatlamat untuk berkuasa, menonjol diri dan dapat mengawal
kelompoknya maka ia memenuhi ciri pertama teroris.
Malah teroris juga
mahu supaya lebih dikenali dan dapat menarik perhatian massa terhadap
perjuangan mereka.
Malah dibesarkan lagi
skop ini dengan memasukkan elemen mempunyai ideologi atau berfahaman tertentu
seperti komunis, sosialis, Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) dan menghidupkan
semula kerajaan lama atau kesultanan tertentu juga boleh dimasukkan dalam
kategori teroris ini.
Ciri kedua yang perlu
ada ialah using violence atau berasaskan kekerasan dan kekejaman. Kelompok
teroris ini akan melakukan perbuatan pembunuhan atau kematian dan kerosakan
dengan cara yang ganas dan tidak berperi kemanusiaan.
Sebab itulah kematian
sering diakibatkan oleh perbuatan teroris terutamanya dengan cara letupan dan
pengebom berani mati. Malah teroris juga menembak, memenggal, membakar dan apa
sahaja kekejaman terhadap manusia dan haiwan sering menjadi sasaran mereka.
Kategori kedua ini
juga boleh difahami bahawa serangan berbentuk non-conventional seperti aksi
tikaman, melanggar pejalan kaki, menyekat saluran air, mengurung hingga mati,
meracuni empangan, menyimbah asid, menghalang kapal berlabuh dan apa-apa sahaja
serangan tanpa senjata api juga boleh dimasukkan dalam kategori terorisme.
‘Siapa saja boleh jadi
teroris’
Maka sebab itulah
sesiapa sahaja boleh menjadi teroris kerana apa sahaja yang bersifat
konvensional boleh dijadikan senjata yang mengakibatkan kematian yang besar.
Kriteria ketiga yang
jelas sekali adalah perbuatan terorisme ini bersifat non-combatant atau
mensasarkan orang awam dan masyarakat sivil yang tidak bersenjata.
Tidak ada aksi perang
antara kelompok teroris dengan kelompok askar atau pemerintah. Teroris akan
menyerang masyarakat awam yang lemah dan tidak mempunyai keupayaan untuk
melawan.
Maka oleh itu sering
kita melihat serangan terhadap penganut agama tertentu di masjid, gereja dan
kuil.
Serangan juga berlaku
di sekolah, stesen kereta api, stesen bas, kawasan pelancongan dan mana-mana
tempat tumpuan umum.
Serangan dalam
kategori ini juga mensasarkan aset mudah dan lemah terutamanya kenderaan awam
seperti bas, keretapi dan kapal terbang.
Aset tidak bergerak
seperti bangunan sekolah, rumah ibadat, cinema dan pusat-pusat hiburan juga
sering menjadi sasaran.
Maka dapat dilihat
bahawa tafsiran teroris itu amat luas dan subjektif Akan tetapi tidak dapat
dinafikan bahawasanya tiga elemen utama perlu ada dalam mana-mana pihak
mengkategorikan sesuatu perbuatan atau individu dan kelompok itu termasuk dalam
kategori teroris.
Pertama bermatlamat
politik, kedua aksi secara kejam dan ganas, dan ketiga mensasarkan orang awam.
Apabila ada ketiga-tiganya maka mereka-mereka ini boleh dimasukkan dalam
senarai pengganas.
Akan tetapi yang
menjadi dilema dalam masyarakat hari ini adalah ketika membicarakan isu
terorisme. Bagi Muslim terutamanya, takut dilabel sebagai pengkhianat kepada
agama sendiri, malah stigma sebegini juga berlaku di kalangan penganut
agama-agama lain.
Untuk mencari tokoh
yang berani membicarakan isu terorisme ini dalam lindungan agama dan etnik
sendiri amat sukar. Malah masyarakat juga amat taboo dan takut untuk bercakap
isu berkaitan terorisme.
Takut bayang-bayang
Maka kita akan
melahirkan masyarakat yang takut dengan bayang-bayang dan patuh membuta tuli
terhadap agama dan pemerintah.
Natijahnya ramai
golongan naif yang tidak ada asas pengetahuan agama yang mencukupi telah
dipengaruhi dan akhirnya menjadi teroris dan terhukum melalui Akta Kesalahan
Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma), Akta Pencegahan Keganasan
(Pota) mahupun Akta Pencegahan Jenayah 2012 (Poca).
Sudah sampai masanya
kerajaan membumikan terorisme ini, masyarakat harus dijelaskan berkaitan apa
itu terorisme, mengapa ianya bahaya dan bagaimana mereka boleh dipengaruhi.
Malah peranan setiap
individu sebagai agen ‘pencegahan’ terorisme amatlah diperlukan dewasa ini.
Terorisme bukan lagi kerja dalaman polis semata-mata, akan tetapi masyarakat
umum juga perlu bersama-sama menghapuskannya.
Terorisme boleh
dijadikan subjek perbincangan dan diskusi umum agar mudah difahami dan
dijelaskan kepada semua lapisan sosial.
SUMBER: Malaysia Kini-
03 DISEMBER 2019
Oleh: Mohd Mizan Aslam
IKUTI KAMI 👇
https://twitter.com/alhaqcentre
https://al-haqcentre.blogspot.com
https://instagram.com/alhaqcentre
"BERSATU
MENENTANG KEGANASAN!”
Comments
Post a Comment