JADILAH PEMBUKA PINTU KEBAIKAN BUKAN KEBURUKAN



Daripada Anas bin Malik RA, Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya di antara manusia ada orang yang menjadi pembuka pintu kebaikan dan menutup pintu keburukan. Dan sesungguhnya diantara manusia ada yang menjadi pembuka pintu keburukan dan menutup pintu kebaikan. Beruntunglah orang yang Allah jadikan dirinya sebagai pembuka pintu kebaikan melalui tangannya. Dan celakalah orang yang menjadi pembuka pintu keburukan melalui tangannya.” (HR Ibnu Majah no. 237)

Allah menciptakan manusia yang pelbagai. Ada di antara manusia yang menjadi pembuka pintu kebaikan dan menutup pintu keburukan. Contohnya, seseorang yang berilmu sebelum dia beramal dan berdakwah, dia menjadikan ilmu untuk berbuat kebaikan kepada dirinya sendiri. Kemudian, dia pula dapat menjadi pembuka pintu kebaikan bagi orang lain; atau bahkan menjadi penutup pintu keburukan bagi orang lain tersebut.

Ini menunjukkan ilmu itu sendiri ada yang benar dan ada yang 'baathil', ada yang bermanfaat dan ada yang merugikan. Apa-apa yang benar adalah apa yang datang dari Allah SWT dan RasulNya dan apa yang 'baathil' adalah apa-apa yang menyelisihi kitabullah dan As- Sunnah yang sahih.

Maka barangsiapa yang mempelajari ilmu yang benar atau sahih dan ia mengamalkannya, maka itu adalah kebaikan bagi dirinya. Kemudian jika ia mendakwahkannya, maka ia akan menjadi pintu kebaikan bagi orang lain pula. Ia akan mendapat pahala jika orang lain itu mengamalkan ilmu yang ia sebarkan itu tanpa mengurangkan pahala orang lain itu sedikit pun. Jika orang lain itu menyebarkan ilmu yang diajarinya itu kepada orang yang lain pula, maka ia pun mendapat pahala orang-orang yang mengikuti ajaran tersebut tanpa mengurangi pahala mereka semua. Begitulah seterusnya.

Namun terdapat di antara manusia yang menjadi pembuka pintu keburukan dan menutup pintu kebaikan. Umpamanya apabila seseorang mengada-adakan amalan bid'ah dan yang bercanggah dengan ajaran Islam (iaitu mengada-adakan keyakinan/pemahaman/amalan yang dianggap termasuk dalam bahagian agama tetapi sebenarnya tidak), jika ia menjadi pelopor bid'ah atau ajaran yang sesat itu, dan jika ia tidak sempat bertaubat sebelum mati, maka dosa atas ajaran bid'ah atau ajaran sesat itu yang disebarkan atau diajarkan kepada orang lain itu, maka ia akan menanggung dosa orang-orang yang berbuat bid'ah atau mengamalkan ajaran sesat itu tanpa mengurangi dosa mereka (dosa orang diajarkan perbuatan bid'ah atau sesat itu). Alangkah binasanya diri mereka yang menjadi pembuka kepada keburukan itu.

Beruntunglah kepada orang yang Allah jadikan sebagai pembuka pintu kebaikan melalui tangannya dan amat rugi serta celakalah orang yang menjadi pembuka pintu keburukan melalui perbuatannya seperti menulis serta menyebarkan fitnah, menyebarkan pembohongan atau ajaran bid'ah dan sesat itu.

Oleh itu, orang yang ingin dirinya menjadi pembuka pintu kebaikan serta menjadi penutup pintu keburukan, maka hendaklah melakukan hal-hal berikut:

a. Mengikhlaskan segala perbuatan dan perkataan hanya kerana Allah dan jadikan ia sebagai sumber kebaikan dan kemuliaan kita.

b. Berusahalah menjadi orang yang memberi manfaat kepada orang lain bukan memberi mudarat.

c. Bersikap dengan akhlak yang mulia dan rahmah, serta jauh dari akhlak yang buruk  seperti maki hamun, mengadu domba dan memfitnah.

d. Jadilah orang yang pemaaf dan balaslah keburukan dengan kebaikan.

e. Berdoa kepada Allah agar diberi taufik menjadi pembuka pintu kebaikan, kerana doa adalah kunci segala kebaikan.

f. Bersahabatlah dengan orang-orang yang soleh dan sering bersama mereka.

g. Sentiasa ingat hari pembalasan agar kita sentiasa berbuat amal kebaikan sebagai bekalan untuk hari akhirat.

Berusahalah menjadikan diri kita sebagai pembuka pintu kebaikan dan menutup segala pintu keburukan.

Sumber: Muslim.or.id (dari Kitab Kaifar Takuunu Miftaahan Lil Khair - Sheikh 'Abdul Razaq 'Abdul Muhsin)

FOLLOW US:
http://facebook.com/alhaqcentremalaysia
http://al-haqcentre.blogspot.com
http://instagram.com/alhaqcentre



Comments