AKIDAH YANG MANTAP DAN MEMILIKI PENGETAHUAN AGAMA YANG BENAR ADALAH BENTENG UTAMA UNTUK MEMBENDUNG SESEORANG INDIVIDU ISLAM DARIPADA TERPENGARUH DENGAN FAHAMAN ATEIS DAN MURTAD
Perkara
berkaitan ideologi atau pegangan hidup seperti murtad dan ateis sukar untuk
diatasi melalui hukuman atau perundangan. Apabila ianya berkait dengan ideologi
maka program pemulihan adalah lebih sesuai dilaksanakan sebagai salah satu
strategi untuk meneutralisasikan ideologi songsang tersebut ke arah ajaran
Islam yang sebenar. Oleh itu, apabila timbulnya isu murtad dan fahaman ateisme
di Malaysia, maka ia menunjukkan bahawa pegangan akidah dalam diri seseorang
individu Islam di Malaysia adalah ditahap yang sangat rendah dan menjadi satu
perkara yang wajar untuk dikhuatirkan.
Corak
pemikiran dan kehidupan masyarakat kini yang lebih menjurus kepada konsep
universal dan bebas daripada ikatan budaya atau tradisi kaum dan gama. Ini
adalah salah satu ciri sekularisme dalam aspek penghapusan terhadap sistem
kepercayaan dalam agama. Mereka tidak menghiraukan sesiapa yang memerintah
negara kerana beranggapan setiap individu yang bertanggungjawab terhadap
masyarakat dan negara adalah layak memerintah tanpa mengira kaum dan agama.
Kurangnya
penekanan terhadap fahaman akidah Islam dan juga pembentukan kerohanian adalah
salah satu faktor yang boleh menyebabkan masyarakat Islam terhakis akidahnya
dan mudah terpengaruh dengan fahaman ateisme. Walaupun dalam sistem pendidikan
telah diterapkan dengan ajaran agama Islam semenjak daripada kecil, namun
penerapan secara berterusan dan bergaul dengan individu-individu yang baik
serta soleh adalah sangat penting bagi mencegah diri dari terpesong dengan
dakyah-dakyah yang negatif.
Bahayanya ateis dan murtad ini secara realitinya memang tidak dapat dilihat dengan mata kasar kerana tidak melibatkan ancaman keselamatan, namun halusnya bahaya ateis dan murtad ini sehingga mempengaruhi akidah dan pegangan agama seseorang individu Islam. Perkara ini perlu diambil cakna bukan sahaja oleh pihak-pihak mufti dan jabatan-jabatan agama Islam, malah ianya perlu diatasi dari peringkat bawah iaitu melalui fungsi-fungsi kekeluargaan dan nilai-nilai agama yang dipupuk dari rumah. Ibu bapa sepatutnya perlu memainkan peranan dan menumpukan perhatian kepada pendidikan agama anak-anak. Apabila akidah Islam sudah kukuh dalam jiwa umat Islam, maka mereka tidak akan menjadi murtad dan ateis walaupun dikelilingi oleh kumpulan seumpama itu.
Sumber:
Jabatan Usuluddin dan Perbandingan Agama, Universiti Islam Antarabangsa.
Comments
Post a Comment