HIZBUT TAHRIR BERTOPENGKAN PERJUANGAN MENEGAKKAN KHILAFAH DEMI MERIALISASIKAN AGENDA SONGSANG MEREKA



Semua umat Islam menyokong sistem Khilafah yang benar tetapi menolak cara Hizbut Tahrir kerana suka mengkafirkan umat Islam dan bertindak pelampau juga berakidah yang ganjil tidak selari dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ). Hizbut Tahrir mengunakan pelbagai slogan Khilafah tetapi hakikatnya mereka membawa ajaran songsang berbeza dengan akidah khalifah-khalifah Islam dan seluruh umat Islam yang berpegang kepada akidah ASWJ.

Apa yang pelik, Hizbut Tahrir ini tidak pula terlibat dalam usaha-usaha untuk berdakwah kepada masyarakat. Mungkin agaknya mereka beriman, jika turunnya Khalifah yang mereka impikan itu dari langit, maka masyarakat bukan Islam akan secara automatik menjadi muslim. Ketika aktivis-aktivis Gerakan Islam lain ke Acheh, Pakistan, Indonesia, Palestin dan tempat-tempat lain untuk melakukan usaha-usaha kemanusiaan, anggota-anggota Hisbut Tahrir pula sibuk menghentam Gerakan Islam dan NGO Islam seperti PAS, UMNO, PKS Indonesia dan juga Jamaah Islami Pakistan. Ketika umat Islam di Palestin dan juga para mujahidin HAMAS berhadapan dengan tentera-tentera rejim setiap hari, mereka pula sibuk mengharamkan HAMAS.

Di manakah logiknya perjuangan Hizbut Tahrir ini tidak dapat dilihat. Di manakah juga fiqh dakwah dan fiqh amal jamaie mereka juga tidak dapat diketahui. Apa yang pasti, kewujudan mereka dan juga usaha hasutan mereka telah berjaya mempengaruhi segelintir umat Islam di negara ini terutamanya dikalangan mahasiswa di kampus-kampus. Kita tidak mahu, satu hari nanti, apabila Hizbut Tahrir sudah mula mendapatkan kekuatan mereka, mereka akan berkempen agar umat Islam di seluruh Malaysia tidak keluar mengundi. Bayangkan, dikala pemimpin Islam sedang berkempen untuk rakyat mengundi pemimpin-pemimpin Islam dan pemerintah yang majoritinya Islam, untuk memenangkan mereka bagi penegakkan hukum Islam dan syiar-syiar Islam, di waktu itu Hizbut Tahrir pula sibuk berkempen mengharamkan rakyat keluar mengundi. Maka pada waktu itu, mungkin golongan bukan Islam nanti yang akan menguasai Malaysia. Pada waktu itu juga, usahkan Khilafah, penegakan syariat Islam di Malaysia pun hanya akan menjadi utopia. Jika anda tidak percaya, sokonglah Hizbut Tahrir dan lihatlah apa yang akan berlaku nanti!


(Sumber: Majalah Al-Kuliyyah, Jabatan Agama Islam Selangor, Disember 2008)


Comments