MEMBALAS KEJAHATAN DENGAN KEBAIKAN ADALAH AMALAN TERPUJI


Allah SWT sentiasa mengingatkan hambaNya agar selalu berbuat kebaikan terhadap semua makhluk di muka bumi ini, lebih-lebih lagi saat berhadapan dengan serangan kejahatan. Ya, memang tidak dinafikan apabila kita menerima bertubi-tubi serangan dari mereka yang berniat jahat, secara automatik perilaku kita juga akan berubah negatif dan menyerang mereka semula dengan kejahatan yang sama. Jikalau begitu, apa bezanya antara kita dan mereka? 

Allah SWT berfirman:

“Tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepadamu) dengan cara yang lebih baik; apabila engkau berlaku demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib.” (QS al-Fussilat: 34)

Masih ingatkah kita dengan kisah Rasulullah SAW dan si buta? Di mana si buta yang dibantu oleh Baginda sering menghina dan mencaci Baginda tetapi Rasulullah SAW tidak langsung melakukan sebarang perlawanan. Tanpa diketahui si buta tersebut, individu yang selalu membantunya selama ini adalah orang yang dihinanya sehinggalah Saidina Abu Bakar membuka rahsia sebenar.  

Mungkin ada di antara kita akan berkata “itu Rasulullah, kita ni manusia biasa dan tidak maksum!”.  Benar, tapi bukankah kita sebagai seorang Muslim dituntut untuk mencontohi akhlak Baginda? Apa gunanya kita sering mendoakan kesejahteraan Rasulullah tetapi tidak mengikut amalan Baginda? Bahkan Saidina Ali bin Abi Talib pernah berpesan kepada bekas hambanya, “Biarkan orang mencelamu dan lupakanlah. Pasti kamu akan diredhai Allah sehingga menimbulkan kemarahan syaitan.” Nampak bukan? Saidina Ali sendiri menuntut bekas hambanya agar mencontohi akhlak Rasulullah SAW.

Sabda (doa) Rasulullah SAW:

“Wahai Tuhanku, ampunkanlah kaumku kerana mereka tidak mengetahui.” (Hadis Riwayat Muslim: 4747)

Pengajarannya di sini, walau seteruk mana kejahatan yang kita terima, perbanyakkan beristighfar dan segera melupakannya serta mendoakan yang terbaik buat mereka. Kerana sifat itu adalah sifat terpuji yang sangat disayangi Allah. Oleh itu, balaslah kejahatan dengan kebaikan. Hadapilah kekasaran dengan kemaafan dan hadapilah kemarahan dengan kesabaran. Kerana dengan bersabar mereka akan berhenti melakukan kejahatan.

Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Comments