MENYANTUNI GOLONGAN BUKAN ISLAM AGAR MEMAHAMI KEINDAHAN ISLAM ADALAH SALAH SATU TUNTUTAN DALAM ISLAM


Keindahan agama Islam bukan sahaja perlu dihayati oleh para Muslim, bahkan ia perlu dikongsi bersama golongan bukan Islam. Apatah lagi di dalam sebuah negara bernama Malaysia yang sering dilabelkan masyarakat dunia luar sebagai sebuah negara makmur dan harmoni serta penuh dengan kepelbagaian diversiti dari segi bangsa, agama dan budaya hingga menjadi perbualan di seluruh platform media sosial.

Sebagaimana firman Allah SWT:

“Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.” (QS al-Mumtahanah: 8)

Namun, ada sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab sering memomokkan kisah ‘dongeng’ bahawa Islam agama perpecahan, persengketaan, bahkan dituduh sebagai agama yang mengekploitasikan keganasan hingga menimbulkan persepsi negatif di kalangan masyarakat bukan Islam. Nah, di sini tugas kita sebagai umat Islam untuk menyantuni mereka dengan akhlak yang terpuji layaknya sebagai seorang mukmin sejati. Tidak perlu perbelanjaan yang besar, hanya sekadar menunjukkan tauladan yang baik. Banyak contoh yang sudah ditunjukkan kepada kita oleh sebahagian besar umat Islam negara ini dalam menyantuni golongan bukan Islam. Dengan cara ini, mereka boleh menilai ‘diri’ Islam yang sebenar.

Ironinya, dalam menyantuni golongan bukan Islam atau golongan Islam yang masih jahil tentang agama Islam, kita perlu memulakannya daripada keperibadian akhlak kita sendiri. Tanpa akhlak, segalanya bagaikan tiada makna. Tunjukkan kepada mereka betapa indahnya agama Islam itu dari segi keperibadian umatnya, kesantunan tingkah laku dan tutur kata yang mendamaikan jiwa. Islam adalah agama perdamaian dan agama toleransi. Ia bukan kata-kata kosong tetapi dijelaskan oleh Allah SWT dalam al-Quran dan dibuktikan secara praktikal oleh Rasulullah SAW melalui sejarah kehidupan serta perjuangan Baginda.

Sabda Rasulullah SAW:

“Ketika ditanya ‘Apa kebaikan itu?’ Kebaikan itu adalah akhlak yang baik.” (Hadis Riwayat Muslim)

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dan Berita Harian “Islam tak larang berbaik dengan orang kafir” (27 Januari 2017)

 

 

 

 


Comments