Setiap insan mengimpikan keamanan. Kehidupan yang aman tanpa peperangan, penindasan dan kekejaman. Namun, keamanan tidak akan datang jika manusia bersikap khianat, mementingkan diri sendiri dan menzalimi orang lain. Sebaliknya keamanan datang daripada sifat penyayang dan kasih sayang pada setiap individu, masyarakat dan rakyat keseluruhannya. Mereka membudayakan kehidupan yang saling menghormati, berbakti, memberi khidmat, menolong, berbuat jasa, menabur budi dan bertimbang rasa.
Sebenarnya prinsip kekuatan bagi seseorang manusia adalah mempunyai nilai persaudaraan yang tinggi antara satu sama lain. Sedangkan Kunci dan nilai persaudaraan sesama manusia pula ialah mahabbah atau kasih sayang yang harus disuburkan oleh umat manusia secara tulus dan ikhlas.
Sifat penyayang tidak boleh diwarisi, tetapi boleh dipupuk dan dibaja dalam jiwa insan sejak kecil. Semua ini harus mengingatkan kita betapa kehidupan manusia harus dibina dan diasaskan atas rasa kasih sayang. Ia adalah sifat sejagat, sangat mulia dan harus menjadi sandaran hidup. Sifat empati beginilah yang menjadi tali yang mengikat nilai keinsanan menjalani kehidupan dengan orang sekeliling kita. Sifat kasih sayang ini memang dituntut pada setiap Muslim dan Allah SWT merahmati Muslim yang memilikki sifat kasih sayang seperti sabda Rasulullah SAW: "Sesungguhnya Allah hanya merahmati hamba-hambaNya yang pengasih" (HR Bukhari No: 1284).
Oleh
itu, Islam menuntut setiap Muslim memilikki sifat kasih sayang terhadap orang
lain seperti sifat saling hormat menghormati, saling bermaafan serta sifat membantu mereka yang sedang menghadapi
musibah, sama ada dengan wang ringgit,
tenaga mahupun pandangan dan nasihat.
Dalam menterjemah semangat masyarakat penyayang, beberapa prinsip atau konsep asas masyarakat penyayang yang berikut, perlu disemarakkan untuk diamalkan dalam sesebuah masyarakat:
1. Setiap entiti dalam masyarakat bukan sahaja sedar akan tanggungjawabnya kepada orang sekeliling, malah sentiasa mencari jalan dan inisiatif untuk terus memberi dengan cara dan kadar terbaik atas kapasiti masing-masing.
2. Semangat masyarakat penyayang ini hendaklah bersifat universal. Tidak dikhususkan kepada mereka dari kaum atau agama yang sama dengan kita sahaja. Sikap diskriminasi dan prejudis perlu dielakkan.
3. Semangat kesukarelaan dan penyayang tidak semestinya hanya bertumpu kepada perkara bersifat kebajikan. Namun, konsep kasih sayang ini perlu difahami dengan lebih luas lagi yang termasuk perkara-perkara seperti pembanterasan jenayah bersama pihak berwajib, pencarian penyelesaian kepada masalah alam sekitar serta inisiatif pengembangan potensi dan kemahiran diri golongan belia dan sebagainya yang lebih terkini, luas dan moden.
4. Segala inisiatif kemasyarakatan berasaskan semangat penyayang ini tidak semestinya dilakukan dalam skala yang besar, tetapi boleh dilakukan dengan memberi sumbangan walaupun dalam perkara-perkara yang dianggap kecil, sedangkan ia berupaya memberi nilai tambah yang besar kepada mereka di sekeliling kita.
Sesungguhnya,
sifat kasih sayang amat dituntut dalam setiap agama khususnya Islam. Melalui
kasih sayang, hubungan manusia akan lebih kukuh dan bahagia kerana ia
menyatukan mereka ketika susah dan senang.
Justeru, marilah kita menyuburkan nilai kasih sayang dalam diri supaya kita dapat membina akhlak diri sebagaimana Rasulullah SAW yang bicaranya amat lemah lembut, kata-katanya tidak menyakitkan hati, nasihatnya penuh hikmah, dan segala perbuatan baginda tidak pernah datang dari perasaan dendam walaupun ada yang membencinya. Marilah kita menyuburkan kasih sayang dalam diri supaya dengannya kita dapat membina keharmonian rumahtangga yang penuh mahabbah seterusnya membina kesejahteraan ummah dan keamanan negara yang tercintai ini. Mudah-mudahan nilai kasih sayang yang kita tanam dalam setiap diri menjadi tiket untuk kita memperolehi syurga Allah SWT di negeri akhirat yang kekal abadi.
Sumber:
Berita Harian, 13 Mac 2015 dan ikimfm.my (kasih sayang suburkan kebaikan).
FOLLOW
US:
http://facebook.com/alhaqcentremalaysia
http://al-haqcentre.blogspot.com
http://instagram.com/alhaqcentre
Comments
Post a Comment