TABARRUJ (BERHIAS DIRI SECARA BERLEBIHAN) ZAMAN MODEN PERLU DIBENDUNG DEMI MENJAGA AKHLAK DAN SAHSIAH PARA BELIA
Sabda Rasulullah SAW:
“Aku melihat ke dalam Syurga maka aku melihat kebanyakan
penghuninya adalah fuqara’ (orang-orang fakir) dan aku melihat ke dalam Neraka
maka aku menyaksikan kebanyakan penghuninya adalah wanita.” (Hadis Riwayat Bukhari
dan Muslim)
Mendengarnya sahaja sudah gerun bukan? Apatah lagi kalau kita
termasuk dalam golongan berikut. Salah satu asbab terjadinya perkara ini adalah
mereka betabarruj yakni memperlihatkan keindahan perhiasannya serta batasan
yang wajib ditutupnya dari pandangan lelaki bukan mahram. Namun, di zaman
teknologi tanpa sempadan ini, hal-hal yang menyebabkan berlakunya tabarruj ini
semakin berkembang tanpa disedari melalui aplikasi-aplikasi di media sosial.
Inilah yang disebut sebagai Tabarruj zaman moden.
Ramai anak-anak muda terutamanya gadis di bawah umur menjadikan
platform ini untuk mereka meraih populariti dengan cara yang singkat walaupun
sekadar melakukan hal yang bebal. Ada pula yang melakukannya sekadar untuk
mendapat ‘tanda suka’ terbanyak agar boleh dibanggakan di hadapan teman-teman.
Sedarkah yang anda semua sudah melakukan satu dosa tanpa disedari? Bukan itu
sahaja, anda telah mengembangkan dosa tersebut secara tidak langsung
menyebabkan puluhan, ratusan dan ribuan lelaki ajnabi terpalit sama dalam
kancah dosa ini. Tabarruj bukan sahaja menimbulkan dosa dan fitnah, tetapi
boleh juga menyebabkan seseorang itu menjadi tumpuan para penjenayah.
Allah SWT:
“Dan tinggallah kamu di rumah-rumah kamu dan janganlah kamu
bertabarruj dengan tabarrujnya orang-orang jahiliyyah pertama dahulu.” (QS
al-Ahzab: 33)
Islam tidak melarang wanita untuk berhias, bahkan menggalakkan
mereka supaya kelihatan cantik. Allah SWT menciptakan wanita dengan fitrah
ingin kelihatan cantik, sekali gus menjadikan bersolek atau berhias tidak
dilarang di dalam Islam. Namun, harus diingatkan jika mereka ingin melakukan
hal tersebut menggunakan platform media sosial mestilah tidak melibatkan
penyertaan lelaki ajnabi. Buat kaum Adam, anda juga harus menjaga ikhtilat dan
pandangan anda dari perkara-perkara yang lagha. Jangan menyalahkan antara satu
sama lain kerana kedua-duanya mempunyai peranan masing-masing. Peranan ibu bapa
juga harus dititikberatkan dalam mendidik anak-anak mereka mengenai dosa pahala
sebelem melakukan sesuatu hal. Ini bagi membendung masalah sosial dan akhlak di
kalangan belia daripada terus berleluasa.
Sekarang pilih, mahu lebih ‘tanda suka’ atau lebih pahala?
Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dan Berita Harian ‘Bersolek usah sampai tabaruj, dedah
aurat’ (1 Mac 2019)
Comments
Post a Comment