TIADA ISTILAH 'GHULUW' (MELAMPAUI BATAS) DALAM AMALAN BERAGAMA MENGIKUT AJARAN ISLAM


Apa itu Ghuluw? Secara ringkasnya ia disebut sebagai perbuatan yang berlebih-lebihan atau lebih tepat lagi melampaui batasan. Sejak peristiwa hitam 9/11 hinggalah keganasan terhadap Syria, dunia Islam dipandang hina oleh penganut agama lain. Mereka seolah-olah menggambarkan bahawasanya Islam ini berlebih-lebihan dan melampaui batas-batas norma kemanusiaan di dalam cara pengamalannya.

Ini ditambah lagi dengan kemunculan berberapa kumpulan atau fahaman ekstremis, radikal atau pelampau yang tidak hanya berlaku dari sudut fizikal malah ia turut berlaku dalam bentuk kefahaman, kepercayaan dan pegangan. Tertubuhnya Daesh, ISIS, Al-Qaeda dan yang seangkatan dengannya yang konon mempromosikan perjuangan menegakkan kebenaran Islam tetapi secara kekerasan menjadikan lagi agama Islam ini semakin dipandang jijik oleh kelompok penganut bukan Islam hingga tercetusnya istilah Islamophobia di kalangan mereka.

Firman Allah SWT:

“Hai Ahli Kitab, janganlah kamu berlebih-lebihan (melampaui batas) dengan cara tidak benar dalam agamamu. Dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu orang-orang yang telah sesat dahulu (sebelum kedatangan Muhammad) dan mereka telah menyesatkan kebanyakan (manusia), dan mereka tersesat dari jalan yang lurus.” (QS al-Maidah:77)

Hakikatnya, Islam adalah sebuah agama kedamaian yang mencintakan persaudaraan sesama insan antara umat Islam dan golongan bukan Islam. Allah SWT juga melarang manusia menyakiti sesama sendiri dan menggalakkan kasih sayang terhadap hubungan sesama insan (hablumminannas). Sikap ghuluw dalam agama adalah sikap yang tercela dan dilarang oleh syariat. Golongan yang memegang agama melebihi apa yang dituntut oleh al-Quran dan al-Sunnah sebenarnya tidak berada di atas petunjuk Rasulullah S.A.W. Walaupun pada zahirnya nampak mereka ini kuat agama namun pada hakikatnya menyimpang daripada petunjuk Nabi S.A.W.

Justeru, kita hendaklah menjauhi sifat Ghuluw dan sentiasa menjadikan hadis dan al-Quran sebagai panduan di dalam hidup kita agar tidak lari dari ajaran Islam yang sebenar. Tiada istilah Ghuluw dalam ajaran Islam kerana di dalam Islam tiada yang memaksa atau dipaksa, semuanya dilakukan dengan dengan kerelaan hati kerana Allah SWT. Sabda Rasulullah SAW:

“Wahai manusia!! jauhilah kamu semua dari melampau, sesungguhnya melampau di dalam agama itu telah membinasakan orang-orang sebelum dari kamu (umat terdahulu).” (Hadis Riwayat Ibnu Majah, Kitab al-Manasik, Bab Qadr al-Husa, Juz. 2, h. 1008)

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Jabatan Agama Islam Selangor dan UM ejournal


Comments