TUNAIKAN AMANAH, JAUHI KHIANAT


Amanah adalah sifat mahmudah yang sangat berat nilai timbangannya. Ia ditakrifkan sebagai kepercayaan yang mendorong seseorang atau sesuatu untuk bertindak mengikut pemilihan yang berasaskan nilai-nilai utama masyarakat. Amanah ialah tanggungjawab yang diterima berdasarkan kepercayaan yang diberikan agar dapat dilaksanakan sebagaimana yang dituntut tanpa mengabaikannya. Walaupun ia dinilaikan sebegitu berat, namun sangat besar dan tinggi pula nilai pahala dan ganjarannya.

Mengabaikan amanah di dunia ini merupakan perkara yang sangat ditegah kerana Allah s.w.t telah memberi peringatan dan pengajaran yang sebaik-baiknya. Apabila amanah disia-siakan, kehancuran akan menjelma dan memenuhi segenap ruang kehidupan kita. Perkara ini turut diperingatkan oleh Rasulullah  melalui sabda Baginda yang bermaksud:
"Jika suatu amanah disia-siakan, maka tunggulah kehancurannya." Baginda ditanya bagaimanakah bentuk mensia-siakan amanah itu? Jawab Baginda, "Jika suatu pekerjaan diserah kepada orang yang bukan ahlinya, maka tunggulah saat kehancurannya." (Hadis riwayat Bukhari).

Adapun khianat pula membawa erti tidak jujur. Menurut Islam, sikap khianat terhadap Allah dan Rasul serta perilaku yang tidak jujur pada orang lain akan mengundang kemurkaan Allah s.w.t. Rasullullah s.a.w mencela sifat khianat kerana ia adalah salah satu tanda munafiq.

Perbuatan khianat nyata akan menghancurkan sendi-sendi kepercayaan kerana sikap atau perilaku tersebut menimbulkan sikap saling tidak percaya, bukan sahaja antara yang mengkhianat dengan orang yang dikhianatinya, tetapi merebak kepada sesiapa sahaja yang tidak terlibat dalam urusan tersebut. Lebih terkesan apabila perbuatan ini turut menimbulkan persengketaan antara mereka hingga menghancurkan keamanan dan keharmonian dalam hubungan keluarga, masyarakat, agama dan negara.

Begitu tinggi dan mulianya keperibadian seseorang diukur melalui sifat amanahnya. Contohilah keperibadian Nabi Muhammad s.a.w yang mengutamakan amanah dalam setiap percakapan dan perbuatan Baginda. Pada zaman pemerintahan khalifah pula, antara contoh khalifah yang amanah adalah Khalifah Umar bin Abdul Aziz.  Beliau sangat menjaga tanggungjawab yang diamanahkan kepadanya. Beliau tidak pernah mencampur-adukkan urusan kerja dan keluarga dalam satu masa, malah mengasingkan kedua-duanya mengikut kesesuaian.

Sumber: Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan 

FOLLOW US:
http://facebook.com/alhaqcentremalaysia
http://al-haqcentre.blogspot.com
http://instagram.com/alhaqcentre

“BERSATU MENENTANG KEGANASAN”

Comments