GENERASI MUDA HARI INI PERLU DIBENTUK AGAR MEMPUNYAI JATI DIRI, MEMILIKI SEMANGAT PATRIOTISME, CINTAKAN KEAMANAN DAN BERSIFAT KASIH SAYANG SESAMA MANUSIA DEMI KESEJAHTERAAN NEGARA DI MASA DEPAN
Jika
dilihat golongan belia pada zaman ini masih lagi tidak memahami apa itu
semangat patriotisme dan cintakan keamanan serta hidup berkasih sayang sesama
insan. Mereka hanyut dengan dunia teknologi tanpa sempadan sehingga ada yang
sudah hilang norma-norma akhlak seorang manusia dek kerana pengaruh media
sosial yang bersifat ‘bebas bersuara’. Maka, di sinilah perlunya peranan ibu
bapa dan masyarakat sekeliling dalam membentuk jati diri golongan belia sedari
awal usia kanak-kanak agar mereka faham akan maksud sebenar nilai sifat-sifat
tersebut.
Rasulullah
SAW bersabda:
“Tidak ada pemberian seorang ayah untuk anaknya yang lebih
utama daripada (pendidikan) tata krama yang baik.” (HR At-Tirmidzi)
Dalam membentuk jati diri dan nilai-nilai murni dalam
golongan belia, perkara utama yang harus dititikberatkan adalah pemahaman
terhadap konsep patriotisme, keamanan dan kasih sayang. Ini adalah sesuatu yang
amat penting terutama dalam kalangan generasi muda kerana mereka perlu sedar
bahawa keamanan dan kesejahteraan yang mereka kecapi hari ini bukan datang
secara percuma. Memang benar rasa cintakan tanah air dan patriotisme harus
dipupuk dari peringkat awal alam persekolahan, tetapi pendidikan awal di rumah
juga menjadi teras utama dalam mendidik dan memupuk semangat patriotisme dalam
jiwa anak-anak muda masa kini.
Di samping itu, golongan belia juga harus diajar cara untuk
menyuburkan perasaan kasih dan sayang terhadap semua makhluk. Ini kerana
sekiranya mereka tidak dipupuk dengan perasaan sebegitu, maka mereka akan
bertindak liar di luar batasan norma kelakuan manusia. Alasannya, mereka tidak
tahu membezakan baik buruk sesuatu tindakan itu. Kasih sayang membentuk
kehidupan masyarakat yang sejahtera. Daripada kasih sayang itu akan lahirlah
sifat sabar, prihatin, bertolak ansur dan toleransi, lemah lembut, sopan
santun, pemaaf dan banyak lagi sifat mahmudah dan nilai-nilai positif yang
lain.
Firman Allah SWT:
“Dan
orang-orang yang beriman yang diturut oleh zuriat keturunannya dengan keadaan
beriman, Kami hubungkan (himpunkan) zuriat keturunannya itu dengan mereka (di
dalam Syurga); dan Kami (dengan itu) tidak mengurangi sedikitpun dari pahala
amal-amal mereka; tiap-tiap seorang manusia terikat dengan amal yang
dikerjakannya."(QS al-Tur: 21)
Justeru, adalah menjadi peranan kita dalam membentuk
nilai-nilai tersebut di dalam diri para belia pada hari ini. Oleh itu, mari
kita mulakan pelbagai kempen dalam menyemarakkan nilai patriotik, cintakan
keamanan dan memupuk kasih sayang sesama manusia di kalangan para belia
negara. Generasi muda hari ini perlu
dilindungi daripada sebarang anasir negatif yang boleh memusnahkan jati
diri mereka. Hal ini kerana belia adalah cerminan negara, masa depan Malaysia
tergantung di tangan akhlak para belia dan akhlak para belia tergantung kepada
tangan para ibu bapa dan kita yang mendidiknya.
Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Berita
Harian “Pendidikan awal pupuk semangat patriotisme generasi muda” (1 Ogos 2015)
Comments
Post a Comment