JANGAN TERPERDAYA DENGAN DAKYAH KUMPULAN MILITAN YANG MENDAKWA BAHAWA MELAKUKAN OPERASI PENGEBOM BERANI MATI ADALAH SYAHID KERANA IA BERCANGGAH DENGAN SYARIAT DAN TIDAK PERNAH DIAJAR DALAM ISLAM
Suatu ketika dahulu, dunia pernah digemparkan dengan beberapa siri serangan pengebom berani mati di beberapa negara serata Asia. Hakikatnya perkara ini sudah pun dimulakan sejak tahun 1948 oleh negara-negara yang bergolak dengan tujuan memberi ketakutan musuh-musuh mereka.
Adakah tindakan tersebut diterima di sisi Islam? Firman Allah SWT yang bermaksud:
“Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan.” (QS al-Baqarah: 195).
Sudah terang dan jelas, Allah amat melarang sama sekali hamba-hambaNya menyakiti diri sendiri dengan alasan ‘syahid di jalan Allah’. Bahkan, ulama-ulama terkenal seperti Syeikh Usamah Rifaie dan Dr. Ali al-Qarah Daghi (Setiausaha Kesatuan Ulama Sedunia) menyifatkan bahawa penyertaan masyarakat Islam khususnya dari negara-negara Asia Tenggara ke dalam kumpulan-kumpulan radikal ini hanyalah tindakan yang sia-sia kerana mereka tidak faham apa erti perjuangan yang sebenar.
Malah, Syeikh Muhammad Said Ramadhan al-Buti yang lebih dikenali sebagai ‘Syahid al-Mihrab’ berpendapat umat Islam seharusnya berwaspada dan mengikut segala saranan Rasulullah SAW yang menyuruh umatnya menghindari tindakan menimbulkan tragedi seperti ini dan menjauhi daripada “berjihad” di atas atas dorongan mereka yang kita tidak dikenali dan tidak diketahui tentang apakah tujuan sebenar mereka menimbulkan huru-hara ini.
Perlakuan serangan berani mati ini sememangnya salah di sisi Islam kerana ia melibatkan nyawa orang-orang awam yang tidak berdosa. Adakah adil bagi mereka untuk turut sama bergadai nyawa dalam tindakan ini hanya semata-mata untuk memenuhi ‘nafsu’ kita yang termakan dengan hasutan ‘jihad di jalan Allah’? Islam tidak menyuruh bahkan Rasululllah SAW juga tidak mengajar umatnya menyakiti diri sendiri dan orang lain.
Rasulullah SAW bersabda:
“Pada umat sebelum kalian, terdapat seseorang yang tercedera, dia tidak dapat menahan kesakitan lalu dia mengambil pisaunya lalu memotong tangannya. Darah berterusan mengalir sehinggalah dia mati. Allah berkata: Hamba ku telah menyegerakan untuk mati, aku telah mengharamkan ke atasnya syurga.” (HR al-Bukhari: 3463)
Adakah kita mahu tergolong dalam golongan seperti itu? Tepuk dada, tanyalah iman. Jangan sesekali terperdaya dengan dakyah syahid kumpulan militan yang mengatakan bunuh diri dengan cara mengebom adalah jalan terbaik untuk mendapat syahid keredhaan Allah. Ini kerana ajaran itu sudah nyata sesat dan jauh menyimpang daripada ajaran Islam sebenar.
Sumber: https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=140224097727675&id=109078697508882
Comments
Post a Comment