MENDAMAIKAN PERSELISIHAN ADALAH KEUTAMAAN BAGI UMAT ISLAM UNTUK BEROLEH RAHMAT DAN BERKAH DARI ALLAH SWT
Sudah menjadi lumrah dunia, manusia sejak mula diciptakan sehinggalah hari ini sentiasa berada dalam percanggahan dan perpecahan sama ada dalam konteks keluarga, politik, kenegaraan ataupun masyarakat seluruhnya. Hal ini bukanlah suatu perkara yang baru, ia sudah terjadi di zaman jahiliah sehingga Allah mendatangkan Islam kepada mereka serta menyeru ke arah penyatuan.
Firman Allah SWT:
"Dan yang menyatukan hati mereka yang beriman. Jika sekiranya kamu membelanjakan semua harta kekayaan yang ada di bumi, nescaya kamu tidak dapat menyatukan hati mereka. Akan tetapi Allah SWT yang menyatukan hati mereka." (QS An-Anfal: 63)
Adalah menjadi tanggungjawab kita sebagai umat Islam untuk sentiasa mendamaikan segala perselisihan yang terjadi tidak kira ia melibatkan diri kita sendiri ataupun orang lain. Hal ini kerana Allah SWT amat membenci persengketaan sesama manusia. Mendamaikan perselisihan antara manusia merupakan satu amalan yang mendatangkan banyak pahala kerana dengan melakukan perdamaian, ikatan hubungan sesama manusia kelihatan semakin mengukuh.
Rasulullah SAW bersabda:
"Mahukah jika aku khabarkan kepada kalian suatu yang lebih utama dari darajat puasa, solat dan sedekah?" para sahabat berkata, "Tentu ya Rasulullah." Baginda bersabda: "Mendamaikan orang yang sedang berselisih. Dan rusaknya orang yang berselisih adalah pencukur (mencukur amal kebaikan yang telah dikerjakan)." (HR Abu Daud No: 4273)
Justeru, usaha ke arah perdamaian sesama manusia adalah sesuatu yang amat disukai oleh Allah SWT kerana mendamaikan dua pihak yang bertelagah diumpamakan menyatukan dua hati yang berpecah seterusnya menutup pintu fitnah yang bakal dicetuskan oleh kedua-dua pihak. Ini kerana ia menjadi keutamaan bagi umat Islam buat masa kini demi beroleh kerahmatan dan berkah dari Allah SWT.
Sumber: Berita Harian “Mendamaikan dua pihak bertelagah tutup pintu fitnah” (9 Jun 2015)
Comments
Post a Comment