ISLAM ADALAH AGAMA YANG MUDAH DAN AJARAN ISLAM YANG BENAR ITU SESUAI UNTUK DIAMALKAN OLEH SELURUH UMAT MANUSIA
Benarkah Islam itu agama yang
mudah? Bagi menjawab persoalan tersebut, terlebih dahulu kita perlu menyemak
asal pernyataan itu. Rasulullah SAW pernah bersabda:
“Sesungguhnya agama itu mudah. Dan
selamanya agama tidak akan memberatkan seseorang melainkan memudahkannya. Kerana
itu, luruskanlah, dekatilah, dan berilah khabar gembira! Minta tolonglah kalian
di waktu awal pagi, siang hari, di kala waktu istirahat dan di awal malam,” (HR
Bukhari dan Muslim: 39 dan 2816)
Dalam kehidupan umum, perkara
“Mudah” dan “Payah” itu adalah sangat relatif. Oleh kerana itu pengukur yang
paling tepat digunakan ialah sama ada perkara itu merupakan satu bebanan yang tidak
mampu dijalankan oleh insan atau termasuk dalam lingkungan keupayaannya menurut
keadaan biasa. Dalam Islam, semua tugas, tanggungjawab dan bebanan adalah
dibuat dan dilaksanakan mengikut keupayaan kerana Allah S.W.T tidak membebankan
ke atas seseorang hamba-Nya lebih daripada kemampuannya. Firman Allah SWT dalam
surah al-Baqarah ayat 286 yang bermaksud:
“Allah tidak memberati seseorang
melainkan yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya,
dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya.”
Terdapat banyak cara yang
dipermudahkan oleh Allah SWT dalam mengamalkan ajaran Islam. Sebagai contoh
solat lima waktu yang sememangnya wajib dilaksanakan oleh setiap umat Islam.
Akan tetapi, bagaimana sekiranya kita sedang bermusafir? Bagaimana pula
seseorang itu dalam keadaan sakit? Adakah individu tersebut terlepas dari
menunaikannya memandangkan adanya kenyataan Islam itu memudahkan? Itu tidak
tepat, apabila Allah menetapkan sesuatu perlakuan itu wajib dilaksanakan maka
ia perlu dilakukan tanpa meninggalkannya. Yang dimaksudkan mudah itu adalah
dari segi pelaksanaannya seperti seseorang apabila bermusafir, Islam telah
menetapkan adanya rukhsah solat bagi musafir iaitu solat yang dijamakkan.
Manakala bagi seseorang yang sedang
sakit, ada pelaksanaan dari segi rukhsah solat bagi pesakit. Begitu juga dengan
puasa. Wajib dilaksanakan oleh umat Islam, cuma apabila adanya halangan seperti
sakit atau uzur dan bermusafir melebihi 92 marhallah yang boleh membawa kepada
kemudaratan, maka ia boleh ditinggalkan. Tetapi, wajiblah ia diganti dengan
puasa atau bayaran fidyah.
Islam sememangnya agama yang mudah
dan indah. Jika terdapat bayangan susah dan berat dalam hukum dan ajaran Islam,
itu bukanlah kerana Islam itu yang berat. Tetapi gambaran itu disebabkan sama
ada salah faham tentang hukum Islam dan pelaksanaan ataupun yang enggan tunduk
kepada ketentuan Islam. Walau bagaimanapun kedua-duanya boleh diatasi dengan
menuntut ilmu daripada sumber-sumber yang sahih ataupun ilmuan-ilmuan yang
diiktiraf Jabatan Agama Islam negara ini.
Sumber:
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)
Comments
Post a Comment